KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi memperagakan status juara bertahan apabila mempamerkan dominasi mutlak untuk membenam Kelantan The Real Warriors (TRW) FC 4-1, pada aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi tandukan padu Jairo De Macedo Da Silva pada minit ke-22 hasil hantaran lambung Manuel Federico Hidalgo Gasparini.
Jaringan itu terus mencetuskan kebangkitan Harimau Selatan dengan JDT segera meningkatkan intensiti permainan, menguasai penguasaan bola dan melancarkan asakan bertali arus sebelum Alberto Diaz Martin menambah jaringan pada minit ke-43, dengan menolak masuk hantaran Jairo Da Silva.
Babak kedua menyaksikan JDT tampil lebih garang apabila terus menekan barisan pertahanan pelawat dengan Oscar Aribas Pasero, meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-53 sebelum Muhammad Nazmi Faiz Mansor menambah gol keempat hanya empat minit kemudian, sekali gus meranapkan sepenuhnya kebangkitan Kelantan TRW.
Kelantan TRW bagaimanapun enggan menyerah mudah dan berjaya memperoleh gol sagu hati pada minit ke-74 menerusi rembatan lambung jarak jauh Muhammad Nor Azam Abdul Azih yang menewaskan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Anak buah kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli hampir mendapat jaringan kedua menerusi percubaan luar kotak penalti oleh Muhammad Syaahir Saiful Nazim pada minit ke-78 namun sepakan tersasar ke kanan gawang.
Sementara itu, di Kota Kinabalu, Sabah FC tewas 1-3 di gelanggang sendiri kepada pasukan dari Brunei DPMM FC pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas.
DPMM FC terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-20 apabila penyerang kebangsaan Indonesia Ramadhan Sananta membuat larian pantas untuk menyambut tandukan Jordan Murray dalam satu serangan balas sebelum menewaskan penjaga gol Damien Lim.
Pasukan dari Brunei itu kemudiannya menambah gol pada minit ke-74 menerusi jaringan Tommy Mawat Bada, sebelum pasukan tuan rumah berjaya merapatkan jurang dua minit kemudian hasil penyudah Ajdin Mujagic.
Namun, kapten DPMM FC Azwan Ali Rahman memanfaatkan situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti untuk memastikan kelebihan buat pasukan itu pada minit ke-86.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, tuan rumah Negeri Sembilan FC (NSFC) terikat 1-1 menentang Kuala Lumpur City malam ini.
Skuad City Boys kendalian Risto Vidakovic membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi serangan balas pantas disempurnakan Kpah Sean Sherman.
Pasukan tuan rumah hampir menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Jovan Motika pada minit ke-15, namun percubaannya tersasar melepasi gawang.
Sherman sekali lagi berpeluang menjaringkan gol dalam situasi satu lawan satu, namun jaringan dibatalkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid pada minit ke-42.
Memasuki babak kedua, pemain import NSFC Jovan Motika hampir menyamakan kedudukan apabila rembatan kencangnya pada minit ke-64 nyaris menewaskan penjaga gol lawan, namun bola berjaya ditepis oleh Quincy Julian Kammeraad.
Pada penghujung babak kedua (minit ke-90), hantaran tepat kapten NSFC Takumi Sasaki ditanduk kemas Joseph Esso, sekali gus mengikat keputusan seri pada malam ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial