AM

Lenggong Geopark Perluas Modul Geosekolah Perkasa Pendidikan, Komuniti

20/12/2025 04:05 PM

LENGGONG, 20 Dis (Bernama) -- Lenggong Geopark menyasarkan tiga lagi sekolah untuk pembelajaran modul geosekolah bagi memperkukuh elemen pembangunan komuniti dan pendidikan dalam ekosistem taman geologi di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Geokomuniti di bawah Badan Pengurusan Lenggong Geopark Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata ketika ini terdapat sebuah sekolah yang menjalani modul berkenaan, iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Raban.

“Kita dah ada ‘Geosekolah Pembangunan Geopark’ yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah. Kita dah ada satu sekolah rendah dan berharap kita akan bangunkan dua atau tiga lagi yang turut membabitkan sekolah menengah.

“Oleh itu, perkara ini satu daripada langkah penting sebagai penyokong kuat kepada pembangunan kawasan ini, selain mewujudkan Pusat Komuniti Lenggong oleh pihak Think City, dengan kerjasama Majlis Daerah Lenggong yang akan membantu perkembangan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Komuniti Lenggong, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Think City Datuk Hamdan Abdul Majid, Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong Mohd Amzari Mohd Arzami, dan Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur Universiti Teknologi Prof Dr Kherun Nita Ali.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata selain pendidikan, Lenggong Geopark turut menumpukan kepada pembangunan keusahawanan tempatan menerusi program geousahawan, khususnya dalam penghasilan kraf tangan, anyaman dan produk berasaskan komuniti.

Sementara itu, Mohd Amzari berkata berdasarkan data pengusaha pelancongan tempatan, kira-kira 22,000 pelancong direkodkan menginap di Lenggong pada 2022, sebelum melonjak kepada 154,000 orang pada 2024.

“Jadi itu satu angka yang besar dan hingga Oktober 2025, kita dah dapat jumlah lebih kurang 156,000 yang menginap di Lenggong untuk tahun ini,” katanya sambil menambah jika seorang berbelanja RM100, bayangkan berapa banyak pelancong telah berbelanja di kawasan Lenggong.

Beliau berkata pihak komuniti di kawasan berkenaan juga telah mula melihat potensi untuk menjana pendapatan  dan ekonomi daripada Lenggong Geopark dan juga tapak warisan dunia itu sendiri.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan