AM

MBPP Pasang Penghadang Jalan Di Jalan Burma Atasi Kesesakan Lalu Lintas

20/12/2025 07:45 PM

GEORGE TOWN, 20 Dis (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memasang penghadang jalan di sebahagian Jalan Burma, di sini sebagai inisiatif bagi menghalang kenderaan berhenti atau menunggu di situ sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

MBPP dalam kenyataan hari ini, memaklumkan tindakan itu bertujuan melancarkan aliran lalu lintas dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya serta pejalan kaki.

Selain itu, MBPP memaklumkan telah memasang papan tanda dilarang berhenti, mengecat garisan berkembar kuning dan memasang penghadang jalan di sebahagian Jalan Burma dari Jalan Cantonment ke Jalan Jones bermula 1 Jun.

“Jalan Burma merupakan antara jalan utama di George Town yang sentiasa sesak disebabkan pengguna jalan raya yang berhenti dan menunggu di tepi jalan sehingga menyebabkan kapasiti lorong lalu lintas berkurangan selain kenderaan terpaksa bergerak perlahan yang menyebabkan kesesakan.

“Sejak pemasangan penghadang jalan dan zon larangan berhenti berkuat kuasa, aliran lalu lintas di jalan itu lebih lancar terutamanya pada waktu puncak dan masalah pelintas jalan secara berbahaya juga dapat ditangani,” menurut kenyataan itu.

MBPP memaklumkan telah menyediakan petak khusus di Solok Moulmein bagi memudahkan peniaga memunggah barang perniagaan dengan selamat tanpa mengganggu aliran lalu lintas selain banyak tempat letak kereta awam disediakan di sekitar kawasan itu.

Semalam, sekumpulan peniaga di Jalan Burma membantah pemasangan penghadang jalan itu kerana mendakwa telah menyebabkan jualan terjejas ekoran tiada pelanggan berhenti yang turut tular di media sosial.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan