AM

Bukan Sekadar RM100, SARA Penyelamat Ketika Terdesak

22/12/2025 01:13 PM

KANGAR, 22 Dis (Bernama) -- Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada kerajaan menjadi penyelamat dan harapan golongan berpendapatan rendah serta peniaga kecil untuk meringankan beban kewangan ketika memerlukan.

Mereka menyifatkan inisiatif itu, yang mungkin dianggap kecil oleh segelintir orang, banyak membantu kerana membolehkan mereka tetap memenuhi keperluan asas keluarga dalam situasi terdesak.

Sharihan Abu Bakar, 45, dari Kampung Nesam di sini berkata pendapatan sebagai peniaga kecil tidak menentu lebih-lebih lagi jika hujan atau lebih teruk semasa banjir seperti bulan lepas sehingga tidak dapat berniaga hampir seminggu. 

“Bagi sesetengah orang nilai RM100 mungkin tidak banyak, tetapi bagi saya bermakna kerana dapat  membantu membeli barangan asas untuk keluarga terutama bila tidak dapat berniaga dan sumber pendapatan tidak menentu,” katanya.

Sharihan yang mula berniaga nasi lemak dan kek coklat lebih dua tahun lepas berkata inisiatif itu sedikit sebanyak membantunya membeli keperluan keluarga. 

Bapa kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan 14 tahun itu berharap kerajaan meneruskan inisiatif tersebut kerana sangat bermanfaat kepada golongan memerlukan dan jika boleh, mempertimbangkan untuk menambah kadar bantuan berkenaan.

Pembantu gerai kuih Nur Ilyana Syahira Azhar, 22, dari Beseri, Padang Besar juga bersyukur dengan bantuan itu kerana membantu meringankan beban kewangan dirinya dan suami yang bekerja sebagai peniaga rojak dengan pendapatan tidak menentu.

Bantuan itu amat membantu memandangkan mereka mempunyai seorang anak perempuan berusia  setahun 10 bulan.

“Bantuan ini memang membantu (dan) dengan menggunakan kad pengenalan sahaja sudah boleh beli barang keperluan. Saya harap ada penambahan (kadar) pada tahun hadapan,” katanya.

Pada 18 Dis, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang serta Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan kadar purata penggunaan SARA menghampiri 100 peratus.

Beliau berkata kerajaan tidak melihat cabaran besar dalam pelaksanaan SARA setakat ini, biarpun ia melibatkan jumlah transaksi besar lebih 20 juta pengguna.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan