AM

Perkhidmatan ETS, KTM Komuter Alami Gangguan Akibat Pokok Tumbang

23/12/2025 12:27 AM

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Komuter mengalami gangguan susulan kejadian pokok tumbang yang merosakkan alat talian atas antara laluan Sungkai-Slim River pada 4.20 petang tadi.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian itu menyebabkan 12 tiub cantilever patah, sekali gus menjejaskan bekalan kuasa bagi operasi tren di jajaran berkenaan.

Menurut KTMB insiden itu memberi kesan kepada 12 perkhidmatan ETS dan KTM Komuter melibatkan laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang-Tanjung Malim.

Kenyataan itu memaklumkan kerja pembersihan di lokasi kejadian berjaya diselesaikan pada 6.53 petang tadi.

“Pada masa ini, kerja baik pulih sistem elektrifikasi sedang giat dilaksanakan oleh pasukan teknikal KTMB dengan kerjasama pihak berkaitan bagi memastikan operasi tren dapat dipulihkan dengan selamat dan secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.

KTMB turut memaklumkan aturan terkini operasi adalah perkhidmatan ETS dari KL Sentral dan Segamat akan ditamatkan di Stesen Slim River dengan penumpang dipindahkan menggunakan perkhidmatan bas ke Stesen Sungkai bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Perkhidmatan ETS dari Padang Besar dan Butterworth pula akan ditamatkan di Stesen Sungkai, dan penumpang akan dipindahkan menggunakan perkhidmatan bas ke Stesen Slim River untuk meneruskan perjalanan.

Sementara itu, perkhidmatan KTM Komuter laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang-Tanjung Malim beroperasi seperti biasa namun dijangka mengalami kelewatan.

“Penumpang ETS yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan akibat kelewatan melebihi dua jam layak memohon pemulangan tambang penuh di kaunter tiket stesen berdekatan, tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada,” menurut kenyataan itu.

Menurut KTMB makluman berkaitan kelewatan turut disampaikan kepada penumpang terlibat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai langkah pemberitahuan awal.

Penumpang yang memerlukan bantuan lanjut boleh mendapatkan khidmat petugas stesen atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan