JOHOR BAHRU, 22 Dis (Bernama) -- Landasan kereta api sepanjang kira-kira 40 kilometer dari Kempas Baru ke Pasir Gudang, yang sebelum ini digunakan khusus bagi perkhidmatan kargo untuk pergerakan kontena dari pelabuhan, kini dirancang untuk dibuka kepada perkhidmatan penumpang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata perancangan kerajaan dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu, termasuk pembangunan beberapa stesen berskala sederhana bagi kemudahan naik dan turun penumpang.
Beliau berkata perkhidmatan itu dijangka dapat memendekkan masa perjalanan di antara Pasir Gudang dan kawasan lain seperti Kempas serta JB Sentral, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya di kawasan Pasir Gudang, Masai, Tampoi dan sekitar bandar raya Johor Bahru.
"Menurut cadangan, setakat ini perjalanan 25 kilometer menggunakan tren mengambil masa 30 minit, berbanding lebih satu jam menggunakan kereta pada waktu puncak," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mohamad Fazli berkata langkah strategik itu bertujuan meningkatkan mobiliti harian pekerja, pelajar dan penduduk setempat serta memberikan manfaat sosial dan ekonomi negeri.
Laluan rel kargo Pasir Gudang yang telah dinaik taraf itu melibatkan trek, sistem isyarat dan aspek keselamatan, menjadikan infrastrukturnya lebih bersedia untuk menyokong perkhidmatan penumpang.
"Ini menjadikan kos pelancaran perkhidmatan penumpang lebih rendah dan cepat boleh dilaksanakan, kerana tidak perlu bina landasan baharu sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata perancangan berkenaan juga sebahagian daripada usaha bagi memperluas rangkaian kereta api penumpang di negeri itu.
"… dengan gabungan projek Komuter Selatan, ia akan melengkapkan jaringan tren yang lebih luas di Johor Bahru, kawasan pelabuhan dan potensi sambungan lain termasuk ke Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura pada masa hadapan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial