AM

KPKT Peruntuk RM20 Juta Turap Semula 400 Jalan Perumahan Di Ipoh

23/12/2025 03:14 PM

IPOH, 23 Dis (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM20 juta kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi melaksanakan kerja penurapan semula 400 jalan perumahan di kawasan bandar raya di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kelulusan khas oleh Kementerian Kewangan diberikan susulan kejayaan KPKT meningkatkan kualiti hidup masyarakat menerusi pelaksanaan pelbagai projek seperti Taman Rekreasi MADANI yang kini mencapai sasaran lebih 200 lokasi di seluruh negara.

"Saya yakin di bawah pimpinan Datuk Bandar Ipoh (Zamakhshari Hanipah), sasaran kita (KPKT) adalah bukan tampalan biasa macam kain koyak, tetapi penurapan semula hampir 400 jalan dalam kawasan perumahan seluruh Ipoh dan fokus kepada kawasan perumahan.

"Saya juga minta Datuk Bandar untuk pastikan apabila pelantikan kontraktor, kena buat analisis kos dan faedah. Siapa yang berikan tawaran paling menarik, kualiti kerja paling terbaik, baru kita bagi dia kerja dan 400 jalan ini dijangka akan mula dalam tempoh terdekat serta siap sepenuhnya menjelang Hari Raya nanti,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di Pasar Canning di sini hari ini.

Beliau berkata KPKT akan memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut piawaian tinggi supaya manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat, selain menjamin jalan perumahan berada dalam keadaan selamat untuk digunakan.

Nga berkata KPKT menganggarkan kos penurapan semula satu jalan di kawasan perumahan kira-kira RM50,000.

"Saya percaya di bawah pimpinan Datuk Bandar kita nak pastikan semua kerja-kerja (dilaksanakan)… apabila peruntukan turun (diberi), kita kena pastikan kualiti itu ada supaya rakyat akan rasa teruja dengan perubahan yang sedang kita bawa bersama,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan