KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Selepas perbicaraan yang berlangsung dalam tempoh tujuh tahun, Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 15 tahun dan denda RM11.4 bilion terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas beliau didapati bersalah atas 25 pertuduhan wang haram dan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah turut memerintahkan Najib dipenjara 40 tahun jika gagal membayar denda tersebut.
Beliau yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan sedemikian, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Najib, 72, pada akhir kes pembelaan.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, yang kemudiannya dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta selepas Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman berkenaan.
Berikut kronologi kes 1MDB:
20 Sept 2018 - Najib didakwa kali pertama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama di hadapan Hakim Azura Alwi.
27 Sept 2018 - Najib selesai membayar wang jaminan berjumlah RM3.5 juta yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen.
31 Okt 2018 - Kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
9 Jan 2019 - Najib memfailkan dua permohonan untuk mencabar pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes itu.
1 Mac 2019 - Najib gagal dalam permohonan itu selepas mahkamah mendapati tiada bukti Sri Ram akan berat sebelah dalam mengendalikan kes tersebut.
7 Mac 2019 - Najib memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan itu.
7 Mei 2019 - Najib gagal dalam rayuan berkenaan.
17 Jun 2019 - Mahkamah Persekutuan menetapkan 7 Ogos 2019 untuk mendengar rayuan Najib bagi menggugurkan Sri Ram.
28 Ogos 2019 - Hari pertama perbicaraan kes 1MDB dihadapi Najib di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
2 April 2020 - Perbicaraan kes itu ditangguhkan kerana lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan.
4 Mei 2020 - Perbicaraan kes Najib dijadualkan bersambung 13 Mei 2020 dengan mematuhi garis panduan mahkamah terbuka ekoran wabak COVID-19.
5 Okt 2020 - Perbicaraan kes dijadualkan bersambung semula pada 19 Okt setelah Najib selesai menjalani kuarantin di rumah selama dua minggu selepas pulang dari Sabah bagi kempen pilihan raya.
5 Jan 2021 - Perbicaraan bermula di Mahkamah Tinggi setelah hampir empat bulan ditangguhkan.
8 Sept 2021 - Mahkamah Rayuan sekali lagi memutuskan Sri Ram kekal mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes tersebut.
14 Dis 2021 - Perbicaraan ditangguhkan kerana status MySejahtera Najib masih mengklasifikasikannya sebagai individu dalam perintah pengawasan dan pemerhatian (PUS) dan mahkamah menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menjalankan perbicaraan secara hibrid, dengan Najib serta peguamnya menyertai prosiding melalui persidangan video.
25 Ogos 2022 - Najib hadir perbicaraan di Mahkamah Tinggi buat kali pertama selepas dijatuhi hukuman bagi kes SRC International Sdn Bhd. Najib dihantar ke Penjara Kajang pada 23 Ogos selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana menyalahgunakan dana SRC berjumlah RM42 juta.
29 Jan 2023 - Sri Ram yang mengendalikan kes itu meninggal dunia pada usia 79 tahun.
30 Jan 2023 - Mahkamah Tinggi menangguhkan perbicaraan kes Najib berhubung kematian mengejut Sri Ram yang dianggap sebagai figura umpama seorang bapa kepada pasukan pendakwaan kes 1MDB.
18 Ogos 2023 - Mahkamah Tinggi tolak permohonan Najib untuk menggugurkan Hakim Sequerah daripada mendengar kes dihadapinya. Najib memfailkan permohonan itu disebabkan hubungan hakim itu dengan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan.
6 Nov 2023 - Mahkamah Tinggi benar permohonan pihak pendakwaan untuk pinda tiga pertuduhan yang dihadapi Najib.
8 Jan 2024 - Najib mohon pihak pendakwaan mengambil tindakan terhadap dokumentari ‘Man on the Run’ yang ditayangkan dalam perkhidmatan penstriman Netflix atas alasan ia sangat subjudis dan menghina kesnya yang sedang berjalan.
30 Mei 2024 - Pendakwaan menutup kesnya selepas enam tahun, 235 hari perbicaraan dengan 50 orang saksi dipanggil memberi keterangan.
20 Ogos 2024 - Najib tarik balik rayuan untuk menggugurkan Hakim Sequerah daripada mendengar kesnya.
3 Okt 2024 - Hakim Sequerah menetapkan 30 Okt untuk menyampaikan keputusan sama ada Najib perlu membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan.
24 Okt 2024 - Najib menerusi anak lelakinya, Datuk Mohamad Nizar membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia berhubung kepincangan yang berlaku dalam 1MDB ketika menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
30 Okt 2024 - Najib diperintah membela diri atas 25 pertuduhan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
2 Dis 2024 - Najib mula memberikan keterangan bela diri selaku saksi pertama pembelaan.
24 Jan 2025 - Najib selesai memberi keterangan bela diri selepas 26 hari berada di mahkamah dan membentangkan kenyataan saksinya setebal 678 muka surat dalam empat jilid.
6 Mei 2025 - Pembelaan menutup kes selepas memanggil 26 orang saksi termasuk Najib untuk beri keterangan.
21 Okt 2025 - Pihak pembelaan mengemukakan hujahan lisan dan selesai berhujah pada 29 Okt.
29 Okt 2025 - Pihak pendakwaan mula berhujah dan menutup hujahan lisan pada 30 Okt.
4 Nov 2025 - Peguam mengemukakan hujahan balas dan mahkamah menetapkan 26 Dis untuk keputusan pada akhir kes pembelaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial