JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Buru Lelaki Disyaki Larikan Diri Dari PUSPEN Bukit Chabang

27/12/2025 03:14 PM

PADANG BESAR, 27 Dis (Bernama) -- Polis sedang memburu seorang pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Chabang di sini, yang disyaki melarikan diri dari pusat tersebut semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar Supt Sarih Salleh berkata polis menerima laporan kejadian membabitkan pelatih lelaki berusia 25 tahun itu pada 12.07 tengah malam tadi, selepas pihak PUSPEN mendapati dia tidak hadir semasa sesi roll call pada 4.15 petang, semalam.

Beliau berkata sebelum kehilangan itu disedari, pihak PUSPEN Bukit Chabang telah mengadakan Hari Perjumpaan Keluarga dari 3.30 hingga 4 petang dan pemeriksaan menyeluruh yang dijalankan gagal mengesan individu terbabit. 

“Susulan kejadian ini, Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar melancarkan Op Tutup dengan menggerakkan dua pegawai dan 22 anggota serta melaksanakan tiga sekatan jalan raya strategik bagi menghalang pergerakan individu berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarih berkata lelaki berasal dari Kampung Kubang Pangas, Mukim Kubang Rotan, Alor Setar, Kedah itu, disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan diperintahkan menjalani rawatan serta pemulihan selama dua tahun bermula 8 Julai 2025 hingga 8 Julai 2027.

“Kes kini disiasat  mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi IPD Padang Besar atau Inspektor Muhammad Aziq Alias di talian 019-6915959 bagi membantu siasatan,” katanya

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan