IPOH, 27 Dis (Bernama) -- Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bagan Datuk Fasa 1 yang bernilai RM87.6 juta telah dirancang bagi menangani isu banjir di Bagan Datuk, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata perancangan tersebut merangkumi kerja-kerja penambahbaikan sistem saliran di Tebuk Semani sepanjang 0.65 kilometer (km), Parit 8 Barat sepanjang 1.25 km dan kolam takungan banjir di Sungai Balai Baroh, dengan projek berkenaan dijadualkan bermula pada suku ketiga 2026.
"Pada masa sama, saya turut menegaskan keperluan langkah-langkah jangka pendek dilaksanakan dengan segera... ini termasuk memperkukuh kolaborasi antara agensi khususnya dalam usaha menambah baik lintasan air dan parit sedia ada bagi mengurangkan risiko banjir sementara menunggu pelaksanaan projek berskala besar ini," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata beliau berada di Bagan Datuk bagi meninjau perkembangan beberapa projek pembangunan strategik yang dirancang demi menjamin kemakmuran serta kesejahteraan rakyat setempat.
Terdahulu, beliau telah mengadakan lawatan ke Kampung Sungai Balai Baroh untuk mendengar taklimat berkaitan Projek Jambatan RTB Bagan Datuk.
"Berdasarkan penjelasan yang diberikan, isu banjir di Bagan Datuk berpunca daripada beberapa faktor utama antaranya taburan hujan tinggi, keadaan semasa lebih 1,900 lintasan air, keadaan sistem saliran sedia ada yang tidak seragam serta topografi kawasan yang menyebabkan takungan air berlaku di beberapa lokasi sehingga mengakibatkan banjir," katanya.
Ahmad Zahid berkata beliau turut meninjau perkembangan Pembangunan Pusat Data di Bagan Datuk hasil kerjasama strategik antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, MARA Inc, Silver Streams serta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan atau FELCRA.
"Pusat data ini diklasifikasikan sebagai Tier IV, iaitu antara pusat data terbesar dan berkapasiti tinggi di Malaysia... insya-Allah, pembangunan pusat data ini bakal membawa manfaat pelaburan, limpahan ekonomi serta peluang pekerjaan kepada penduduk Bagan Datuk.
"Fasa pertama berkapasiti 10MW dijangka siap dan mula beroperasi pada pertengahan tahun 2027 manakala fasa kedua berkapasiti 25MW akan disiapkan pada tahun berikutnya," kata beliau.
Justeru, Ahmad Zahid berharap kedua-dua projek dapat dilaksana dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan supaya dapat memberi manfaat langsung serta kelebihan jangka panjang kepada rakyat Bagan Datuk sejajar aspirasi pembangunan inklusif dan mampan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial