KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengeluarkan peringatan akhir susulan perintah khidmat masyarakat bakal berkuat kuasa mulai 1 Jan 2026, sebagai sebahagian daripada penguatkuasaan lebih tegas terhadap tabiat membuang sampah di tempat awam.
Menterinya Nga Kor Ming berkata pegawai penguat kuasa sudah diarahkan untuk melaksanakan undang-undang baharu itu, yang bertujuan memperkukuh kebersihan awam serta tanggungjawab sivik.
“Sesiapa sahaja termasuk warga asing yang membuang sampah di tempat awam akan didenda RM2,000 dan wajib menjalani kerja-kerja pembersihan awam selama 12 jam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Pada 25 Dis, Nga menegaskan bahawa kebersihan bandar menjadi tanggungjawab bersama dan bukan tugas kerajaan atau pihak berkuasa tempatan semata-mata, selain menyuarakan kekecewaan kerana masih terdapat segelintir pihak yang membuang sampah, khususnya di pusat bandar dan kawasan awam.
“Malaysia sedang menuju ke arah negara maju dan akan menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2026, sikap tidak bertanggungjawab seperti ini mencemarkan imej bandar serta reputasi negara secara keseluruhan, termasuk dalam kalangan pelancong,” katanya.
Beliau berkata kementerian menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) komited menjalankan kerja-kerja pembersihan dan penguatkuasaan berterusan, namun kejayaan usaha itu bergantung kepada kesedaran serta kerjasama orang ramai.
Nga menggesa semua pihak supaya lebih bertanggungjawab apabila berada di kawasan awam semasa menyertai sebarang acara perayaan atau aktiviti, dengan membuang sampah ke dalam tong sampah serta mematuhi undang-undang bagi memastikan bandar yang bersih, selesa dan teratur untuk semua.
“Bandar yang bersih mencerminkan masyarakat yang berbudaya. Marilah kita menyokong usaha SWCorp dan PBT dalam memastikan bandar kita lebih bersih, mampan dan boleh didiami untuk generasi akan datang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial