ALOR SETAR, 27 Dis (Bernama) -- Kejayaan Persatuan Silat Cekak Malaysia (PSSCM) membuka kelas seni Silat Cekak di Sydney, Australia, membuktikan warisan seni bela diri Melayu itu boleh diajar kepada semua golongan tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.
Guru Utama dan Presiden PSSCM Datuk Maideen Kadir Shah berkata usaha itu juga antara misi persatuan dalam mengembangkan seni silat ke peringkat antarabangsa sekali gus memartabatkan budaya dan warisan Melayu itu agar tidak hilang ditelan zaman.
“Sesiapa pun boleh belajar Silat Cekak dan kita dah pun ada kelas Silat Cekak di Sydney, Australia, cuma silibusnya sedikit berbeza sebab dalam silat ada hal berkaitan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Demonstrasi Perdana Silat Melayu Warisan Kedah dan Pantomim Silat Cekak sempena Sambutan Jubli Intan Silat Cekak di sini hari ini, yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah Datuk Mohd Salleh Saidin.
Kira-kira 3,000 ahli persatuan Silat Cekak seluruh negara hadir pada program yang turut menampilkan pelbagai persembahan silat serta perjalanan ilmu persilatan Silat Cekak sejak 60 tahun ia ditubuhkan.
Dalam pada itu, Maideen berkata penganjuran sambutan itu juga menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan seni warisan Melayu kepada generasi muda serta pelancong dari seluruh negara.
“Di peringkat tempatan, kita perkenalkan Program Tunas Cekak sejak 2022 yang setakat ini telah melahirkan hampir 1,000 pelajar seawal usia tujuh tahun dan telah dilaksanakan di 34 sekolah seluruh negara selain kelas latihan dibuka di cawangan negeri.
“Silibus kami disesuaikan supaya anak-anak boleh belajar tanpa perlu menunggu umur 16 tahun. Disiplin, akhlak baik dan nilai kasih sayang yang diajar di kelas silat dibawa balik ke rumah dan sekolah...sekali gus dapat membentuk jati diri anak-anak,” katanya.
Sementara itu, Salleh berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong penuh usaha Persatuan Silat Cekak dalam memartabatkan seni warisan itu melalui nilai disiplin, akhlak dan budaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial