AM

Penduduk Pasir Linggi Bina Bangsal Buluh Sepanjang Monsun Timur Laut

29/12/2025 12:23 PM

GUA MUSANG, 29 Dis (Bernama) -- Sebanyak 200 penduduk daripada 30 keluarga Orang Asli di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini memilih untuk tidak pulang ke rumah mereka walaupun banjir di kawasan penempatannya telah surut sepenuhnya sejak bulan lepas.

Penghulu Kampung Pasir Linggi Harun Ismail berkata keputusan itu diambil berikutan rata-rata mereka masih trauma dengan tragedi bah kuning lebih 10 tahun lepas, sehingga menyebabkan penduduk lebih selesa tinggal di dalam bangsal yang dibina menggunakan buluh, kayu hutan, tali rafia dan berbumbungkan kanvas sebagai tempat berteduh sementara sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).

Harun berkata mereka membina penempatan ini sejak Oktober lepas dan memilih untuk mengamalkan hidup secara nomad sehingga MTL berakhir.

“Kami memutuskan untuk berpindah ke atas bukit bagi mengelakkan terkandas jika bencana berlaku seperti banjir besar pada tahun 2014. Rasa takut dan trauma masih ada, terutamanya mereka yang tinggal berhampiran kawasan sungai kerana bimbang tidak sempat untuk berpindah.

“Kami akan tinggal di dalam khemah di atas bukit yang dibina berhampiran laluan masuk ke Kampung Pasir Linggi. Ini persediaan setiap tahun untuk menghadapi musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui pemberita di Pasir Linggi di sini baru-baru ini.

Penduduk Amoi Latif, 57, pula berkata persiapan awal menghadapi banjir telah dilakukan kerana jarak rumahnya dengan Sungai Linggi hanya beberapa meter sahaja dan risau paras air meningkat secara mendadak sekiranya hujan berterusan.

“Kami telah membawa kesemua kelengkapan asas untuk digunakan seperti peralatan memasak, alas tidur dan pakaian kerana akan tinggal di sini sehingga Januari depan bergantung kepada keadaan cuaca.

“Sehingga kini kami juga berulang-alik pulang ke rumah untuk memeriksa keadaan rumah dan mengecas telefon bimbit,” katanya. 

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu Mohd Faedyzal Mohamed menasihatkan masyarakat Orang Asli supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa, selain segera menghubungi pihaknya sekiranya berlaku kecemasan sepanjang tempoh bencana.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan