AM

Penumpang BAS.MY Di Negeri Sembilan Catat Peningkatan 35 Peratus - Exco

29/12/2025 03:52 PM

SEREMBAN, 29 Dis (Bernama) -- Penggunaan perkhidmatan bas henti-henti BAS.MY bagi semua 22 laluan di Negeri Sembilan, mencatatkan peningkatan sebanyak 35 peratus kepada 125,000 penumpang setakat ini berbanding 90,000 pengguna, tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J. Arul Kumar berkata pencapaian itu, melibatkan operasi 90 buah bas di seluruh negeri itu.

“Peningkatan sebanyak 35,000 penumpang itu, membuktikan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan BAS.MY semakin bertambah, sekali gus mencerminkan kejayaan kerajaan dalam memperkukuh sistem pengangkutan awam di negeri ini.

“Ini merupakan petunjuk yang sangat positif dan kerajaan komited untuk terus menaikkan jumlah penumpang BAS.MY pada masa akan datang, dengan sasaran lebih 200,000 penumpang pada tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau terminal bas utama di Terminal 1, di sini hari ini.

Arul Kumar berkata bagi memastikan lebih ramai pengguna memanfaatkan perkhidmatan itu, pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan termasuk memperkenalkan kad konsesi BAS.MY, iaitu tambang percuma kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas, pelajar sekolah dan universiti serta orang kurang upaya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Nilai itu berkata setakat ini, 6,853 pendaftaran bagi kad konsesi itu direkodkan di Negeri Sembilan dan dijangka akan lebih meningkat pada masa akan datang.

Arul Kumar berkata kerajaan turut menawarkan kad 30 hari tanpa had yang sebelum ini berharga RM50 sebulan namun dikurangkan kepada RM30 sahaja, bersamaan RM1 sehari yang pastinya memberi mengurangkan beban belanja pengguna.

“Saya yakin langganan kad tersebut membolehkan pengguna menaiki BAS.MY pada bila-bila masa tanpa had dalam tempoh 30 hari dan terbuka kepada semua kategori penumpang selain penerima kad konsesi. sebanyak 514 individu telah berdaftar bagi kad 30 hari setakat ini,” katanya.

Arul Kumar berkata antara laluan yang menerima paling ramai penumpang ialah dari Nilai Sentral ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) iaitu 20,000 sebulan, manakala Terminal 1 ke Nilai Sentral ialah 6,000 penumpang.

“Ada beberapa laluan lain yang kurang mendapat sambutan, jadi kita akan mencadangkan untuk menamatkan laluan tersebut, antaranya Nilai ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan akan digantikan dengan laluan baharu yang masih dalam penelitian pihak berwajib,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan meminta pengurusan BAS.MY supaya diadakan satu laluan ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini, bagi memudahkan masyarakat untuk akses ke hospital tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan