JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Maut Selepas Kereta Terbabas Di Bahu Jalan

29/12/2025 01:37 PM

GEORGE TOWN, 29 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta Toyota Vios dipandunya terbabas di bahu jalan di Desa Mawar, Farlim di sini hari ini.

Mangsa, Lim Soon Teik, 67, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian muka.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.37 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta yang terbabas di bahu jalan, dengan seorang mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka. Mangsa telah diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, pihak KKM mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian. Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan oleh pihak bomba sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 11.05 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, John berkata seorang lelaki maut dalam kemalangan motosikal selepas mangsa terjatuh ke dalam longkang sedalam tiga meter di Jalan Sungai Daun, Nibong Tebal dekat sini malam tadi.

Katanya mangsa R.Mahendran, 61, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM akibat kecederaan parah yang dialaminya.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 11.12 malam dan setibanya di lokasi, mendapati mangsa telah dikeluarkan dari longkang oleh orang awam. Pihak bomba kemudian membantu mengangkat mayat untuk diserahkan kepada pihak berkuasa bagi urusan bedah siasat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan