JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Rakam Keterangan Bekas Menteri Disyaki Terima Rasuah RM5 Juta, Kereta Mewah

29/12/2025 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam keterangan seorang bekas menteri kerana disyaki menerima rasuah wang kira-kira RM5 juta dan kereta mewah jenis Lamborghini melibatkan projek papan iklan dan pemindahan tanah di ibu negara.

Menurut sumber, bekas menteri terbabit datang ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini bagi dirakam keterangan dan siasatan pada peringkat mengesan punca pembayaran kereta mewah berkenaan.

“Bagi kes pemindahan tanah pula, siasatan awal mendapati tanah-tanah yang sebelum ini digazetkan untuk pembinaan surau telah dipindah milik kepada satu syarikat proksi," katanya.

Sumber memaklumkan seramai 16 saksi yang terdiri daripada kakitangan kerajaan dan pemilik syarikat telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan setakat ini tiada sitaan aset atau pembekuan akaun dilakukan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang bekas menteri yang pernah berkhidmat dalam Kabinet kerajaan sebelum era COVID-19 berada dalam radar siasatan SPRM susulan dakwaan penyelewengan sewaktu berkhidmat di sebuah kementerian, membabitkan pemindahan sebidang tanah milik kerajaan yang bernilai tinggi kepada seorang pemaju hartanah terkemuka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan