EKONOMI

Malaysia Airports Perkukuh Pertumbuhan Jangka Panjang Menerusi Pemodenan ISG

30/12/2025 01:04 PM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) terus melaksanakan usaha pelaburannya lebih awal dalam memenuhi permintaan berterusan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISG), Turkiye.

Usaha itu hanya mengukuhkan lagi tumpuan jangka panjang kumpulan terhadap kapasiti, kecekapan dan daya tahan di serata rangkaian lapangan terbang kendaliannya.

Dalam kenyataannya hari ini, MAHB berkata Fasa 1 pengembangan ISG telah dirasmikan baru-baru ini susulan penyiapan kerja-kerja pengubahsuaian dan pengoptimuman Terminal 1 yang membuktikan penekanan pendekatannya dalam merancang dan menyediakan infrastruktur yang menyokong pertumbuhan dari masa ke masa.

Pada masa sama, MAHB turut menekankan aspek strategi pelaburannya secara berfasa dan dipacu oleh permintaan yang dirangka bagi memperkukuh prestasi lapangan terbang selain memastikan keselesaan penumpang dan kestabilan operasi.

“Projek pengembangan bernilai 70 juta euro (€1 = RM4.77) yang disasarkan siap menjelang suku kedua 2026, dilaksanakan menerusi kerjasama erat antara Pihak Berkuasa Lapangan Terbang ISG (HEAS), Istanbul Sabiha Gökçen International Airport Investment Development and Operation Inc serta MAHB.

"Projek itu jelas memaparkan bagaimana perancangan secara disiplin, penyampaian berperingkat dan kepakaran pengoperasian dapat dibuat dalam persekitaran pertumbuhan tinggi sama ada di Eropah atau dalam rangkaian lapangan terbang Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata pemodenan dan kerja-kerja pengoptimuman Terminal 1 itu didorong oleh pertumbuhan penumpang yang berterusan serta keperluan bagi meningkatkan kapasiti serta aliran penumpang secara terancang dan teratur.

“Ini menunjukkan bagaimana kami merancang, membuat pelaburan serta mengendalikan lapangan terbang bagi tempoh lama.

“Pendekatan sama turut dijadikan sebagai panduan bagi kerja-kerja di Malaysia yang mana kami terus meningkatkan aset, proses serta kapasiti bagi menyokong permintaan perjalanan udara di masa depan sambil mengekalkan tahap perkhidmatan yang konsisten di serata rangkaian,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan