DUNIA

Lebih 35,000 Kanak-kanak Jadi Mangsa Keganasan Seksual Di DRC - Unicef

30/12/2025 03:59 PM

MOSCOW, 30 Dis (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Lebih 35,000 kanak-kanak menjadi mangsa keganasan seksual di Republik Demokratik Congo (DRC) dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, lebih 35,000 kes keganasan seksual terhadap kanak-kanak direkodkan di seluruh negara,” kata UNICEF dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu menyebut bahawa pada 2024, kira-kira 45,000 kes keganasan terhadap kanak-kanak telah direkodkan, mewakili hampir 40 peratus daripada keseluruhan kes keganasan seksual yang dilaporkan.

Angka tersebut adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding 2022, tambah UNICEF.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa jumlah sebenar mangsa berkemungkinan jauh lebih tinggi, memandangkan ramai yang tidak melaporkan kejadian tersebut kerana rasa takut atau malu.

“Kebanyakan kes tertumpu di Kivu Utara, Kivu Selatan dan Ituri, apabila konflik, pemindahan penduduk dan sistem perlindungan yang lemah meningkatkan risiko yang amat tinggi. Namun, jumlah yang ketara turut direkodkan di Kinshasa dan Kasai, iaitu kemiskinan, ketidakjaminan makanan dan keciciran persekolahan meningkatkan kerentanan kanak-kanak perempuan terhadap eksploitasi dan perkahwinan awal,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, kekurangan dana terus merumitkan usaha membantu mangsa, menurut pertubuhan berkenaan.

Pergerakan M23, sebuah kumpulan pemberontak bersenjata di Republik Demokratik Congo (DRC), ditubuhkan pada 2012 oleh pejuang Tutsi Congo.

Pada akhir Januari, M23 melancarkan serangan besar-besaran, sekali gus meningkatkan konflik di timur DRC.

Antara Januari hingga Februari, kumpulan pemberontak itu merampas bandar Goma dan Bukavu, masing-masing ibu negeri wilayah Kivu Utara dan Kivu Selatan.

Dari Mac hingga Julai, pertempuran semakin memuncak, mencetuskan perpindahan besar-besaran penduduk dan memburukkan krisis makanan di rantau berkenaan.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan