PUTRAJAYA, 30 Dis (Bernama) — Global Construction Certification Centre Sdn Bhd (GCCC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan CIDB Holdings Sdn Bhd untuk mempromosi dan memudahkan akses kepada perkhidmatan pengujian, pensijilan dan latihan industri produk pembinaan antarabangsa.
Pengerusi GCCC Tan Sri Liow Tiong Lai berkata dalam persekitaran pembinaan moden, kawal selia tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada pemeriksaan manual, audit berkala atau penguatkuasaan pasca insiden; sebaliknya, tadbir urus pembinaan masa kini mesti bersifat pintar, berupaya meramal, dipacu data dan didayakan oleh teknologi.
Beliau berkata GCCC ditubuhkan khusus untuk memainkan peranan penting dalam memacu transformasi itu.
“Sebagai platform pensijilan pembinaan global, penyelarasan piawaian dan pematuhan pintar, GCCC mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI), teknologi pengesanan pintar dan sistem pensijilan digital ke dalam tadbir urus berkualiti dan keselamatan pembinaan.
“Kerjasama dengan CIDB ini meletakkan tadbir urus pembinaan pintar sebagai teras utama,” katanya dalam ucaptama di majlis menandatangani MoU itu di sini hari ini.
Beliau berkata GCCC mempunyai rangkaian kerjasama strategik yang merangkumi makmal ujian, institusi latihan dan rakan industri di Malaysia, China dan beberapa pasaran antarabangsa, sekali gus membolehkan pelaksanaan aktiviti promosi, pengenalan perkhidmatan dan pertukaran pengetahuan yang lebih berstruktur serta berperingkat.
“Bersama rakan niaga antarabangsa, GCCC kini bersedia menyediakan makmal pengujian, pensijilan dan pengeluaran secara moden di negara-negara sumber seperti China dan negara lain. Ini penting kerana banyak bahan yang kita import dari China, adalah lebih baik sekiranya bahan-bahan itu diperiksa dan diperakui di China terlebih dahulu sebelum dihantar ke sini.
“Inisiatif seperti ini dapat menyediakan akses dan ekosistem industri binaan negara yang lebih efektif untuk jangka masa panjang sekali gus mengurangkan risiko penalti, kos pelupusan dan kerugian yang dialami oleh pemain industri pembinaan kita,” katanya.
Menurutnya, Malaysia pada 2024 mengimport produk binaan bernilai hampir RM300 bilion dari China, hampir satu perlima daripada jumlah import keseluruhan negara. Ini tidak mengambil kira jumlah import negara lain.
“Justeru, kerjasama ini bakal menyokong hasrat CIDB untuk meningkatkan kecekapan dan daya saing industri binaan negara,” katanya.
Di bawah rangka kerja perkongsian itu, GCCC akan berfungsi sebagai rakan kongsi promosi antarabangsa bukan eksklusif, yang memudah cara penglibatan dan hubungan dengan pengeluar, institusi, agensi dan pemain industri luar negara yang berminat mendapatkan perkhidmatan ujian pembinaan, pensijilan dan latihan industri.
Kerjasama itu juga membuka peluang untuk penganjuran bersama aktiviti promosi antarabangsa seperti seminar, persidangan, pameran dan misi perdagangan, serta penyampaian program latihan dan pembangunan kapasiti kepada peserta antarabangsa.
GCCC mengesahkan komitmennya kepada CIDB untuk mematuhi sepenuhnya kepimpinan kawal selia serta keutamaan nasional CIDB; menyampaikan penyelesaian berasaskan AI yang sejajar dengan pelan hala tuju strategik CIDB dan mencapai penambahbaikan yang boleh diukur dalam kualiti pembinaan, keselamatan, pematuhan dan kecekapan tadbir urus.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial