HAMILTON (Canada), 3 Jan (Bernama-Anadolu) -- Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) memaklumkan bahawa pasukan pendamainya telah menjadi sasaran tembakan senjata ringan dan mesingan berhampiran Kafer Shouba di selatan Lubnan pada Jumaat, serta mengesahkan tembakan itu berpunca dari kedudukan Israel di selatan Garisan Biru, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Awal hari ini, pasukan pendamai yang sedang melakukan rondaan berhampiran Kafer Shouba melaporkan 15 das tembakan senjata ringan yang mengenai kawasan tidak lebih 50 meter dari kedudukan mereka," kata UNIFIL dalam kenyataan.
Tambah kenyataan itu, "kurang daripada dua puluh minit kemudian, pasukan pendamai dalam rondaan kedua di kawasan yang sama melaporkan kira-kira 100 das tembakan mesingan dilepaskan kira-kira 50 meter dari mereka."
Sambil mengesahkan bahawa "tiada kerosakan atau kecederaan dalam kedua-dua kes tersebut," UNIFIL turut mengesahkan bahawa tembakan itu datang daripada kedudukan tentera Israel "di selatan Garisan Biru bagi kedua-dua kes," dan menambah bahawa misi itu telah menghantar permintaan "hentikan tembakan" melalui saluran perhubungan.
Misi itu juga menegaskan bahawa rondaan itu telah diselaraskan lebih awal, dengan menyatakan: "UNIFIL telah memaklumkan kepada IDF mengenai aktiviti di kawasan tersebut lebih awal, mengikut amalan biasa bagi rondaan di kawasan sensitif berhampiran Garisan Biru."
"Insiden seperti ini berlaku terlalu kerap, dan menjadi trend yang membimbangkan," kata UNIFIL, sambil mengingatkan bahawa "serangan ke atas atau berhampiran pasukan pendamai adalah pelanggaran serius terhadap Resolusi Majlis Keselamatan 1701."
Ia seterusnya menggesa tentera Israel "untuk menghentikan tingkah laku agresif dan serangan ke atas atau berhampiran pasukan pendamai yang bekerja demi keamanan dan kestabilan di sepanjang Garisan Biru."
Tiada sebarang ulasan daripada tentera Israel mengenai kenyataan tersebut.
Rondaan pendamai PBB di selatan Lubnan sering kali terdedah kepada tindakan ganas Israel, termasuk sasaran laser dan tembakan amaran, dalam apa yang pernah disifatkan oleh jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Stephane Dujarric, sebagai "insiden yang sangat berbahaya."
Gencatan senjata telah dilaksanakan di Lubnan sejak November 2024, selepas lebih setahun serangan yang mengorbankan lebih 4,000 orang dan mencederakan 17,000 yang lain berikutan perang Israel ke atas Gaza.
Sekurang-kurangnya 335 orang terbunuh dan 973 yang lain cedera dalam serangan Israel sejak gencatan senjata bermula, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Tentera Israel sepatutnya berundur dari selatan Lubnan pada Januari 2025 di bawah perjanjian gencatan senjata, namun sebaliknya hanya berundur sebahagian dan terus mengekalkan kehadiran tentera di lima pos kawalan sempadan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial