DUNIA

2 Maut Susulan Gempa Bumi Di Mexico

03/01/2026 02:24 PM

MEXICO CITY, 3 Jan (Bernama-Xinhua) -- Dua orang maut manakala 12 yang lain cedera selepas gempa bumi berukuran 6.5 magnitud melanda selatan Mexico pada Jumaat, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.

Seorang wanita berusia 50 tahun terbunuh selepas rumahnya runtuh di negeri Guerrero, pusat gempa bumi berkenaan, kata Evelyn Salgado, gabenor negeri itu.

Selain itu, seorang lelaki dalam lingkungan usia 60-an maut selepas terjatuh dan tidak sedarkan diri di perbandaran Benito Juarez, Mexico City, semasa proses pemindahan yang dicetuskan oleh gempa bumi tersebut, menurut kenyataan rasmi daripada pihak perbandaran.

Clara Brugada, ketua kerajaan Mexico City, berkata di platform X bahawa selepas mengaktifkan protokol tindak balas gempa bumi, laporan terkini menunjukkan 12 orang cedera, serta 18 aduan diterima berikutan gangguan bekalan elektrik di pelbagai kawasan kejiranan.

Beliau menambah bahawa dua struktur sedang dinilai berikutan risiko runtuh, manakala 34 bangunan dan lima rumah sedang diperiksa sebagai langkah pencegahan.

Perkhidmatan Seismologi Kebangsaan Mexico memaklumkan bahawa gempa itu berlaku pada 7.58 pagi waktu tempatan (1358 GMT), dengan pusat gempa dikesan kira-kira 4 kilometer (km) ke barat daya San Marcos di negeri selatan Guerrero, pada kedalaman kira-kira 5km.

Di Mexico City, pembesar suara di jalan raya menyiarkan amaran seismik beberapa saat sebelum gegaran dirasai.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan