AM

Selaras Seragam Sekolah Bantu Kurangkan Beban B40

03/01/2026 02:30 PM

ALOR SETAR, 3 Jan (Bernama) -- Cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyelaraskan pemakaian seragam sekolah dilihat dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa golongan B40.

Timbalan Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan Zainol Abidin Mohamad yang juga Pengerusi PIBKS Kedah berkata pihaknya menyambut baik hasrat KPM tersebut.

“Prinsip asas pendidikan adalah kesaksamaan, kesederhanaan dan fokus kepada pembelajaran, bukannya perbezaan penampilan. Pendekatan ini dilihat mampu mengurangkan beban kewangan ibu bapa, khususnya golongan B40 dan M40.

“Ia juga dapat mengelakkan unsur persaingan tidak sihat dalam kalangan murid serta mengembalikan fungsi sekolah sebagai medan pembinaan sahsiah, ilmu dan nilai, bukan pameran gaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata langkah itu perlu dibuat secara berperingkat, inklusif dan berunding dengan mengambil kira beberapa aspek termasuk pandangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), keperluan murid mengikut iklim, keselesaan dan kesihatan serta realiti sosioekonomi setempat.

“PIBKS menegaskan bahawa ibu bapa adalah rakan strategik pendidikan, bukan sekadar penerima keputusan. Oleh itu, sebarang dasar baharu wajar dilaksanakan melalui libat urus bermakna, agar keputusan diambil benar-benar membawa kebaikan kepada anak-anak dan tidak menambah tekanan kepada keluarga.

“Matlamat kita bukan sekadar seragam sama, tetapi peluang pendidikan yang adil dan bermaruah untuk semua,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan