KUANTAN, 6 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang komited menjalinkan hubungan baik dengan semua institusi kehakiman sebagai rakan strategik dalam usaha pencegahan rasuah dan pengukuhan integriti di negeri itu.
Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama Ketua Hakim Syarie Pahang Datuk Abdul Walid Abu Hassan semalam bagi membincangkan aspek kerjasama dari sudut pendidikan, pendedahan serta kesedaran mengenai integriti kepada warga kerja kehakiman dan masyarakat umum.
“Pertemuan ini diharap membuka ruang kerjasama lebih erat demi kepentingan agama, bangsa dan negara,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Mohd Shukor sebelum itu mengadakan kunjungan hormat terhadap Abdul Walid di pejabat Ketua Hakim Syarie Pahang di Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah di sini semalam.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai peranan dan tanggungjawab institusi masing-masing dalam menegakkan keadilan, keluhuran undang-undang serta nilai integriti berlandaskan prinsip syariah dan perundangan negara.
Sementara itu, Abdul Walid dalam kenyataan sama merakamkan penghargaan atas kunjungan tersebut dan menyambut baik usaha SPRM Pahang dalam memperkukuh budaya integriti serta memerangi rasuah.
Beliau turut menyatakan komitmen Jabatan Kehakiman Syariah Pahang untuk terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan dalam memastikan sistem penyampaian keadilan dilaksanakan secara telus dan berkesan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial