AM

Perkhidmatan Telekomunikasi Di Kampung Salang, Pulau Tioman Pulih

05/01/2026 12:27 PM

KUANTAN, 5 Jan (Bernama) -- Perkhidmatan selular di Kampung Salang, Pulau Tioman, Rompin telah berjaya dipulihkan sepenuhnya oleh syarikat telekomunikasi pada 1 Jan lepas.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan berikutan faktor keselamatan serta perkhidmatan feri yang terhad pada musim monsun timur laut (MTL), pihak CelcomDigi hanya dapat tiba di Pulau Tioman pada 31 Dis lepas bagi melaksanakan kerja-kerja penggantian peralatan yang rosak.

"MCMC akan terus bekerjasama dengan agensi yang berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam untuk memberi bantuan kepada penyedia perkhidmatan dari aspek pengangkutan dan sokongan logistik khususnya pada musim MTL," menurut kenyataan itu. 

MCMC memaklumkan sebelum ini, stesen pemancar selular di Kampung Salang yang diselia oleh pihak CelcomDigi menggunakan teknologi Rangkaian Teras Pelbagai Operator (MOCN) telah mengalami kerosakan teruk.

Kerosakan itu telah menyebabkan perkhidmatan selular CelcomDigi, Maxis dan U Mobile di kampung tersebut terputus sejak 17 Dis lepas namun semakan MCMC mendapati perkhidmatan jalur lebar tetap Unifi beroperasi seperti biasa.

"Secara keseluruhan, terdapat sembilan stesen pemancar di Pulau Tioman dan semua pemancar ini beroperasi dengan baik kecuali di Kampung Salang," menurut MCMC. 

Terdahalu, MCMC menerima aduan daripada wakil rakyat dan penduduk kampung berhubung gangguan perkhidmatan selular 2G serta 4G di Kampung Salang yang menjejaskan hampir 100 orang berikutan cuaca buruk yang melanda Pulau Tioman baru-baru ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan