PETALING JAYA, 7 Jan (Bernama) -- Perkhidmatan rel kendalian Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) mencatat peningkatan ketara dari segi kebolehpercayaan dalam tempoh tiga tahun, dengan jumlah gangguan tahunan berjaya dikurangkan daripada 252 kes pada 2022 kepada hanya 31 kes pada 2025.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata peningkatan itu diukur melalui indikator mean kilometre between failures atau Purata Kilometer Antara Kegagalan (MKBF), yang menunjukkan satu gangguan berlaku bagi setiap 790,000 kilometer operasi pada 2025 berbanding 60,000 kilometer pada 2022.
“Peningkatan ini mencerminkan hasil penekanan berterusan terhadap penyelenggaraan, pembaikan sistem dan pelaksanaan pendekatan penyelenggaraan ramalan oleh Prasarana sejak tiga tahun lepas,” katanya pada sidang media sempena Pembentangan Laporan Prestasi Prasarana 2025 dan Pelan 2026 di Menara Prasarana di sini hari ini.
Bagaimanapun, Loke berkata Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya masih mencatat prestasi belum memuaskan walaupun trend penambahbaikan jelas, dengan 16 gangguan direkodkan sepanjang 2025 berbanding 26 kes pada 2024.
Beliau berkata gangguan itu ditakrifkan sebagai tren tidak bergerak lebih lima minit di stesen, yang memberi kesan rantaian kepada operasi stesen seterusnya, terutama pada waktu puncak.
Loke berkata gangguan perkhidmatan rel berpunca daripada pelbagai faktor termasuk isu sistem, operasi serta faktor luar kawalan seperti kecurian kabel dan cuaca buruk.
“Apabila berlaku kecurian kabel, sistem isyarat terjejas dan tren tanpa pemandu seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan LRT Laluan Kelana Jaya akan berhenti serta-merta atas faktor keselamatan kerana tidak dapat berhubung dengan Pusat Kawalan Operasi,” katanya.
Sehubungan itu, Loke berkata Prasarana sedang melaksanakan naik taraf sistem dan komunikasi bagi LRT Laluan Kelana Jaya dengan fasa kedua projek itu dijangka siap menjelang akhir tahun ini, sekali gus dapat menyumbang kepada peningkatan ketara prestasi laluan tersebut.
Bagi penambahan aset, beliau berkata 26 set tren baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya telah dianugerahkan kepada kontraktor utama ZELC-CRM-CLM Consortium (CRRC), manakala tiga set tren tambahan disediakan bagi perkhidmatan monorel.
“Tren baharu memerlukan tempoh kira-kira tiga tahun sebelum boleh beroperasi sepenuhnya kerana perlu melalui pelbagai peringkat ujian dan pensijilan keselamatan,” katanya.
Selain itu, Loke berkata 50 set tren sedia ada akan melalui proses baik pulih berikutan jangka hayat operasi yang memerlukan penyelenggaraan menyeluruh selepas 15 tahun.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Amir Hamdan pada sesi sama berkata selaku pengendali pengangkutan awam utama di Lembah Klang dan Pulau Pinang, agensi itu berjaya mencatat rekod 1.63 juta perjalanan penumpang harian, tertinggi dalam sejarah penubuhannya.
Beliau berkata purata jumlah perjalanan penumpang harian sepanjang 2025 turut meningkat secara signifikan iaitu 11 peratus kepada 1.31 juta, berbanding 1.18 juta pada tahun sebelumnya.
“Pencapaian ini membuktikan kebolehpercayaan operasi perkhidmatan rel dan bas yang semakin kukuh dan konsisten,” katanya.
Selain itu, Amir berkata ketersediaan perkhidmatan Rapid Bus telah mencatat peningkatan kepada 1,355 bas, berbanding 1,165 pada tahun sebelumnya, termasuk ketersediaan perkhidmatan Rapid On-Demand (ROD) yang telah dipertingkatkan pada tahun lepas.
Beliau berkata usaha pemodenan armada bas sedang giat dilaksanakan, dengan perolehan 310 bas diesel baharu yang diterima secara berperingkat sejak tahun lepas yang dijangka lengkap sepenuhnya menjelang Februari 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial