EKONOMI

Bangunan Sumulator MAB Academy Perkukuh Kepimpinan Latihan Penerbangan - Loke

06/01/2026 02:23 PM

SEPANG, 6 Jan (Bernama) -- Malaysia telah mengambil langkah penting ke arah memperkukuhkan ekosistem latihan penerbangannya dengan pelancaran Bangunan Simulator MAB Academy di sini, memperkasa cita-cita negara untuk menjadi hab penerbangan serantau terkemuka.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kemudahan baharu itu mewakili pelaburan yang tepat pada masanya dan penting untuk masa depan penerbangan Malaysia dan mencerminkan komitmen bersama terhadap keselamatan, pembangunan kemahiran dan daya tahan industri bagi tempoh jangka panjang.

“Kedudukan geografi strategik Malaysia, cita-cita terhadap ketersambungan yang kukuh dan permintaan semakin meningkat untuk perjalanan udara meletakkan kita dalam kedudukan unik untuk menjadi hab penerbangan terkemuka di rantau ini. Bagaimanapun, aspirasi ini mesti disokong oleh modal insan yang kukuh dan keupayaan latihan bertaraf dunia.

“Memandangkan sektor penerbangan kita terus berkembang, keperluan untuk juruterbang, kru kabin, jurutera, kakitangan keselamatan dan pakar penerbangan berkemahiran tinggi akan terus berkembang.

“Institusi latihan yang mantap adalah penting untuk memastikan golongan profesional cekap, peka terhadap keselamatan dan bersedia untuk masa depan menjadi teras pertumbuhan ini,” kata Loke dalam ucapannya pada majlis pelancaran Bangunan Simulator MAB Academy di Sepang di sini hari ini.

Loke berkata Kementerian Pengangkutan secara konsisten menekankan kepentingan mengembangkan dan meningkatkan program latihan penerbangan kerana kecemerlangan latihan adalah asas kepada keselamatan, kualiti operasi dan daya saing global.

Pelaburan dalam kemahiran dan latihan melangkaui keperluan industri kerana ia juga membantu memupuk masyarakat yang menghargai sains, pemikiran kritis dan membuat keputusan berasaskan bukti, kualiti adalah penting kepada keselamatan penerbangan dan pembangunan negara.

Bangunan Simulator ini mempunyai enam ruang simulator penerbangan penuh termasuk A330neo, Boeing 737-800NG dan ATR 72-500 berserta ruang latihan khusus, ia dapat memupuk persekitaran pembelajaran dengan berkesan.

Kemudahan berkenaan menandakan penyempurnaan transformasi MAB Academy, perubahan daripada Pusat Latihan Subang yang berusia 40 tahun, mengambil langkah penting ke arah visinya untuk menjadi pusat sehenti pembelajaran penerbangan.

Mengenai keselamatan, Loke menegaskan semula komitmen kementerian terhadap pengawasan dan penguatkuasaan kawal selia yang kukuh melalui Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), selain itu kerjasama erat antara kerajaan, pengawal selia, institusi latihan dan penggiat industri adalah penting untuk memastikan piawaian antarabangsa sentisa dipatuhi.

Beliau juga menekankan kepentingan kemampanan sebagai keutamaan yang menentukan sektor ini, memetik Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Negara bagi Penerbangan 2024, menetapkan rangka kerja untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050.

“Transformasi ini bukan sahaja memerlukan teknologi baharu tetapi juga tenaga kerja yang terlatih dan dilengkapi untuk menyokong amalan penerbangan mampan.

“Menerusi kerjasama berterusan antara kerajaan, pengawal selia dan penyedia latihan, Malaysia dapat memperkukuh infrastruktur latihan penerbangannya, mengurangkan pergantungan pada kemudahan luar negara dan meletakkan dirinya sebagai destinasi menarik untuk pelatih serantau dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Aviation Group (MAG) Datuk Kapten Izham Ismail berkata pelancaran itu menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan transformasi jangka panjang mereka dan menyokong Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 lima tahun yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan berdisiplin, mampan dan kepimpinan operasi.

“Tumpuan kami sentiasa tertumpu kepada penyediaan profesional penerbangan untuk realiti operasi. Kemudahan ini mengukuhkan komitmen tersebut dengan memastikan latihan adalah relevan, teliti dan berasaskan pengalaman dunia sebenar,” katanya.

Pelancaran Bangunan Simulator itu mengukuhkan lagi MAB Academy sebagai pusat latihan serantau, menyokong pertumbuhan industri dan menyumbang kepada aspirasi Malaysia untuk menjadi hab penerbangan global.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan