JENAYAH & MAHKAMAH

Dadah Dalam Kereta, Buruh Dan Rakan Wanita Ditahan

07/01/2026 03:55 PM

DUNGUN, 7 Jan (Bernama) -- Seorang buruh dan rakan wanitanya ditahan selepas penemuan dadah pelbagai jenis seberat 60.35 gram dalam kereta yang dinaiki mereka di Jalan Besar Kampung Nyior Paka di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata sepasukan anggota polis yang melakukan operasi telah menahan sebuah kereta jenis Perodua Axia dinaiki pasangan itu di lokasi berkenaan pada 3.10 petang.

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut polis menemui dua peket plastik biru berisi pil berwarna merah dan hijau disyaki dadah jenis yaba seberat 59.56 gram.

“Turut ditemui satu peket plastik cerah berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.79 gram. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM4,553.90," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek lelaki berusia 39 tahun itu didapati positif methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya sejak 2010.

 Sementara itu, Maizura berkata suspek wanita berusia 30 tahun yang juga bekerja sebagai buruh, turut positif methamphetamine dengan beberapa rekod kesalahan dadah sejak tahun 2015.

"Siasatan awal mendapati suspek lelaki mengaku dadah yang dirampas adalah miliknya untuk tujuan pengedaran," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, serta Seksyen 15(1)(a) akta sama.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan