KINABATANGAN, 9 Jan (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag akan membuka tirai esok, dengan bermulanya proses penamaan calon di Dewan Sri Lamag di sini.
Semua bakal calon yang bertanding boleh menyerahkan borang pencalonan masing-masing di Pusat Penamaan Calon (PPC) bermula 9 pagi.
Proses penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu.
Sebaik urusan proses penamaan calon selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon yang layak bertanding bagi kedua-dua PRK berkenaan.
Setakat ini, anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Mohd Naim Kurniawan yang juga Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan telah dinamakan sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kinabatangan.
Bagi kerusi DUN Lamag, BN menamakan bekas calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang lepas, Mohd Ismail Ayob atau dikenali Miha sebagai calon yang akan mewakili parti itu pada PRK berkenaan.
Parti Warisan pula menamakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kinabatangan manakala Ahli Majlis Tertinggi parti Mazliwati Abdul Malek dinamakan sebagai calon bagi DUN Lamag.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya Bung Moktar, 66, pada 5 Dis lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding esok hingga 11.59 malam pada 23 Jan.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag mempunyai 48,722 pemilih berdaftar merangkumi 48,526 pengundi biasa dan 196 polis serta pasangan sebagai pengundi awal.
Sebanyak 36 pusat mengundi biasa dengan 117 saluran dan satu pusat mengundi awal dengan satu saluran akan digunakan.
SPR menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan adalah pada 24 Jan manakala pengundian awal pada 20 Jan.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca hujan di beberapa tempat di Kinabatangan pada sebelah pagi esok.
Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata sebanyak 926 pegawai dan anggota polis di negeri itu ditugaskan bagi memastikan kelancaran kedua-dua PRK berkenaan.
Selain itu, beberapa jalan akan ditutup sementara semasa hari penamaan calon dan hari pengundian PRK melibatkan Jalan Dato Pengiran Galpam bermula di hadapan Mahkamah Syariah sehingga Simpang 3 menuju Jalan Dato Malek Chua di sini.
Jalan berkenaan akan ditutup bermula 7 pagi pada hari penamaan calon manakala pada hari pengundian, penutupan bermula 5 petang sehingga selesai proses pengiraan undi dan pengumuman calon yang menang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial