KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) di Zoo Negara yang menempatkan sepasang panda gergasi baharu, Chen Xing dan Xiao Yue, yang tiba dari China pada 18 Nov tahun lepas akan dibuka kepada orang awam dalam masa terdekat.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang mengadakan lawatan ke PKGP itu bagi meninjau kemudahan disediakan untuk pasangan panda gergasi di pusat konservasi itu hari ini berkata Chen Xing iaitu panda gergasi jantan dan Xiao Yue (betina) sudah selesai menjalani tempoh kuarantin.
Arthur berkata beliau berpuas hati dengan kemudahan PKGP termasuk kerja menaik taraf ekshibit utama, reka bentuk dalaman, landskap dan penggantian pendingin menggunakan peruntukan daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) untuk meningkatkan kebajikan pasangan panda itu dan keselesaan pengunjung.
“Berdasarkan keadaan ini, pihak kerajaan China bersetuju untuk membenarkan PKGP dibuka kepada orang awam. Saya akan mengumumkan tarikh pembukaan PKGP dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Arthur berkata semasa lawatan itu, beliau turut menerima penerangan daripada pakar veterinar China dan Zoo Negara berhubung tahap kesihatan pasangan panda gergasi yang secara keseluruhannya berada dalam keadaan baik.
Beliau berkata Chen Xing dan Xiao Yue menunjukkan tingkah laku normal dan aktif yang menandakan tahap penyesuaian yang baik haiwan itu terhadap persekitaran baharu.
Arthur berkata pasangan panda berkenaan merupakan ikon hubungan diplomatik antara Malaysia dan China dalam usaha mengukuhkan kerjasama kedua-dua negara, khususnya dalam bidang konservasi dan penyelidikan hidupan liar.
“Sehingga kini, kerajaan China telah menjalankan kerjasama antarabangsa dalam konservasi dan penyelidikan panda gergasi dengan 20 negara, termasuk Malaysia,” katanya.
Beliau berkata perjanjian kerjasama konservasi antara Malaysia dan China telah dimeterai bersempena lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia pada 16 April 2025.
“Pemeteraian perjanjian melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dan China Wildlife Conservation Association (CWCA) ini membolehkan Malaysia menerima pasangan panda gergasi baharu bagi tempoh 10 tahun mulai 2025 hingga 2035,” katanya.
Lawatan itu turut disertai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh, Ketua Setiausaha NRES Datuk Dr Ching Thoo Kim, Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan wakil pengurusan Zoo Negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial