AM

Agong Berkenan Kurniakan Masjid Baharu Di Batu Muda, Kuala Lumpur

09/01/2026 12:34 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini bertitah berkenan mengurniakan sebuah masjid bagi penduduk di kawasan Batu Muda, di sini.

Menerusi perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah tapak masjid seluas dua ekar yang telah diperkenankan itu terletak di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda.

“Sudah lama saya simpan hajat untuk memberi sebuah masjid untuk penduduk di sekitar Kuala Lumpur dan setelah berbincang dengan Datuk Bandar, hari ini pada Jumaat yang mulia, hajat ini dapat dizahirkan.

“Seluruh kos berkaitan pembinaan masjid ini akan ditanggung oleh saya sendiri. Reka bentuknya juga saya tentukan untuk diambil berasaskan Masjid Kampung Mahmoodiah di Johor Bahru. Semoga ia bermanfaat untuk semua, dunia dan akhirat, Insya-Allah,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud, yang diperkenankan menghadap di Istana Bukit Tunku, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Rosli Nordin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan