SUKAN

Liga Super: Jaringan Lewat Hidalgo Selamatkan Maruah JDT

10/01/2026 12:17 AM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan penguasaan dalam Liga Super musim ini apabila mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Gol tunggal JDT itu adalah hasil tandukan tepat Manuel Hidalgo pada minit akhir tambahan separuh masa kedua sebagai penyudah hantaran Oscar Arribas.

Terdahulu pada babak pertama, perlawanan berlangsung dalam intensiti tinggi dan penuh agresif sehingga beberapa pemain daripada kedua-dua pasukan dilayangkan kad kuning.

Aksi mula panas apabila NSFC memperoleh sepakan percuma pada minit ketujuh selepas pemain JDT Muhammad Syahmi Safari mengasari Jovan Motika, namun peluang keemasan itu gagal dimanfaatkan untuk menembusi gawang lawan.

JDT hampir memecah kebuntuan pada minit ke-18 menerusi rembatan deras Oscar Arribas bagaimanapun penjaga gol NSFC, Muhammad Azri Abdul Ghani, tampil cemerlang menafikan percubaan tersebut.

Beberapa minit kemudian, JDT sekali lagi mengancam gawang tuan rumah menerusi percubaan jarak jauh Ager Aketxe Barrutia namun berjaya diselamatkan Muhammad Azri.

Memasuki babak kedua, JDT tampil lebih garang dengan beberapa percubaan sebelum Hidalgo akhirnya menjaringkan gol kemenangan Harimau Selatan pada masa kecederaan,

Sementara itu di Stadium Likas, Sabah FC seri 1-1 dengan Kuala Lumpur (KL) City FC.

Babak pertama aksi berkenaan menyaksikan kedua-dua pasukan saling bertukar serangan namun tiada sebarang jaringan berjaya diciptkan.

Memasuki babak kedua, Sabah FC dikejutkan pelawat apabila Safawi Rasid merobek gawang Sang Badak pada minit ke-50 dengan rembatan kencang di kawasan kotak penalti, menjadikan kedudukan 0-1.

Bagaimanapun Sabah kembali bangkit dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-67 menerusi penyerang import Ajdin Mujagic dan kedudukan itu kekal sehingga tamat masa permainan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan