PUTRAJAYA, 5 Jan (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus memperkasakan agenda pembangunan belia dan sukan negara menerusi pelaksanaan dasar dan inisiatif yang menumpukan kesejahteraan belia, pembudayaan sukan serta pengukuhan ekosistem industri sukan yang inklusif dan mampan.
KBS dalam kenyataan memaklumkan komitmen berkenaan selaras dengan amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri hari ini yang menekankan mengenai pengukuhan tadbir urus kerajaan, pemerkasaan integriti penjawat awam, budaya kerja berprestasi tinggi dan keutamaan kepada penyampaian perkhidmatan yang cekap dan telus.
“KBS turut menyokong sepenuhnya penekanan Perdana Menteri terhadap pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu utama pembangunan modal insan negara.
“Kementerian ini akan terus memperkukuh peranan institusi belia dan sukan di bawah KBS dalam menyediakan latihan kemahiran, peningkatan kebolehpasaran serta laluan kerjaya berasaskan TVET yang relevan dengan keperluan industri, termasuk sektor sukan dan keusahawanan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu turut menyokong pelaksanaan dan penambahbaikan bantuan bersasar kerajaan termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR), sebagai langkah meringankan beban kos sara hidup dan menjamin kesejahteraan golongan belia berpendapatan rendah.
Selain itu, KBS turut menzahirkan komitmen memastikan setiap warga kementerian menghayati nilai profesionalisme, akauntabiliti dan semangat kerja berpasukan selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam membina negara yang progresif, berdaya tahan dan berteraskan nilai kemanusiaan.
“Kementerian ini kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan semua agensi, pihak berkepentingan serta rakan strategik bagi merealisasikan visi dan hala tuju yang telah digariskan demi manfaat belia, atlet dan seluruh rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial