AM

Pencapaian Aaron-Wooi Yik Muncul Naib Juara Bukti Kecekalan, Disiplin Tinggi - TPM Ahmad Zahid

11/01/2026 10:36 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pencapaian beregu lelaki kebanggaan negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik muncul naib juara Terbuka Malaysia 2026, sebagai bukti kecekalan dan disiplin tinggi kedua-dua pemain itu.

Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook malam ini berkata kejayaan beregu negara itu mara hingga ke final juga menunjukkan kualiti juang yang tidak pernah luntur walaupun tirai awal 2026 belum berpihak kepada Malaysia untuk merangkul gelaran juara kejohanan itu.

“Ia bukan sekadar satu keputusan tetapi manifestasi usaha berterusan dan kematangan permainan di peringkat tertinggi dunia. Setiap langkah yang diambil hari ini adalah asas kepada kejayaan yang lebih besar esok hari.

“Teruskan melangkah dengan penuh keyakinan, bangkit dengan semangat yang lebih ampuh dan jadikan pengalaman ini sebagai pemangkin untuk menawan kejayaan yang lebih gemilang,” katanya. 

Beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada kedua atlet itu dengan berkata, “Seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh di belakang kalian. Kami bangga, percaya dan sentiasa menyokong perjuangan ini hingga ke puncak tertinggi.”

Terdahulu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada gandingan pilihan utama dan juara bertahan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan, 15-21, 21-12, 18-21, dalam perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, sekali gus melanjutkan kemarau 12 tahun Malaysia dalam acara itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan