AM

Isu Harga Di Bazar: KPDN Sarawak Gesa Pengguna Buat Laporan

04/03/2026 06:25 PM

KUCHING, 4 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak memberi jaminan bertindak dalam tempoh 24 jam terhadap sebarang laporan termasuk isu harga di bazar Ramadan.  

Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin berkata pihaknya tidak menghalang orang ramai menularkan isu termasuk harga barangan yang tinggi namun laporan rasmi amat penting bagi membolehkan siasatan segera dijalankan.

“Pengguna dinasihatkan membuat laporan rasmi terlebih dahulu bagi mengelakkan peniaga menyembunyikan bukti.

“Jika ada peniaga menaikkan harga secara tidak munasabah, kita akan mengeluarkan notis dan tindakan tegas akan diambil. Kita tidak akan berkompromi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Bazar Ramadan Stutong di sini hari ini.

Beliau berkata dari 19 Feb hingga hari ini, KPDN telah melaksanakan 2,682 pemeriksaan di seluruh Sarawak.

“Dalam operasi ini, kita menggerakkan 206 pegawai penguat kuasa dan 89 pegawai pemantau harga setiap hari sepanjang Ramadan. Pegawai ditugaskan secara berkumpulan, beruniform dan secara penyamaran,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan digalakkan membuat laporan menerusi WhatsApp KPDN Sarawak 019-848 8000 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan