BERITA TERGEMPAR   Warga ATM terlibat aktiviti tidak bermoral, rosakkan imej ATM akan disingkir daripada perkhidmatan - Mohamed Khaled | 
 AM

Sekolah Kumpulan B Buka Sesi 2026, Kalendar Persekolahan Kembali Ke Bulan Januari

12/01/2026 12:58 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Sekolah-sekolah Kumpulan B membuka sesi persekolahan bagi tahun akademik 2026 hari ini, menandakan penyelarasan semula kalendar pendidikan negara ke bulan Januari selepas beberapa tahun bermula lewat susulan penjajaran jadual akibat pandemik COVID-19 sejak 2020.

Kumpulan B melibatkan sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sekolah Kumpulan A di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang melibatkan hampir sejuta murid dan pelajar telah memulakan sesi persekolahan semalam.

Pelaksanaan semula jadual persekolahan pada awal tahun ini bertujuan menyelaraskan kembali kalendar pendidikan negara seperti sebelum ini, selain memberi tempoh pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara lebih teratur sepanjang tahun.

Selain itu, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 diteruskan tahun ini dengan agihan kepada 5.2 juta pelajar sekolah rendah dan menengah dijangka diselesaikan selewat-lewatnya pada hujung minggu ini.

Di PUTRAJAYA, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Ahmad Suhaimi Endut berkata seramai 41,683 pelajar memulakan hari pertama persekolahan di semua sekolah rendah dan menengah.

“Putrajaya juga mencatatkan pembukaan sekolah baharu iaitu Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 15(1),” katanya kepada pemberita selepas menyantuni pelajar SMK Putrajaya Presint 18 (1).

Di PERAK, Pengarah Pendidikan Negeri Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata seramai 348,594 pelajar daripada 1,105 sekolah memulakan sesi persekolahan hari ini membabitkan 162,759 pelajar sekolah menengah dan 185,835 murid sekolah rendah di seluruh negeri.

“Jumlah itu termasuk 30,456 pelajar Tingkatan Satu, murid Tahun Satu seramai 29,172 serta murid prasekolah seramai 16,282,” katanya kepada pemberita selepas Program First Day At School di Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Perempuan Muzwin di Kuala Kangsar di sini.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Ipoh mendapati kehadiran murid SK Tasik Damai telah disambut oleh maskot yang disediakan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan sebagai inisiatif untuk menceriakan suasana hari pertama persekolahan.

Di PULAU PINANG, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata seramai 19,705 murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan, dan jumlah itu dilihat berkurangan berbanding tahun lepas yang merekodkan 20,197 orang.

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau SK Tan Sri Awang Had Salleh di Balik Pulau, beliau berkata BAP, yang keseluruhannya berjumlah RM34.12 juta, akan diserah kepada ibu bapa pada minggu ini membabitkan 230,000 pelajar.

Di JOHOR, Ketua Setiausaha KPM Datuk Dr Aminudin Hassim berkata seramai 615,120 pelajar sekolah rendah dan menengah memulakan sesi persekolahan termasuk 23,740 murid prasekolah, 55,406 murid Tahun Satu dan 47,237 pelajar Tingkatan Satu.

“Fokus utama kita di KPM adalah untuk mengatasi isu buli dalam kalangan pelajar dengan mengadakan beberapa program menerusi kerjasama pelbagai agensi,” katanya ketika ditemui pada Program Welcome Back To School 2026 di SK Dato’ Onn Jaafar, Simpang Renggam di sini.

Pengarah Jabatan Pendidikan NEGERI SEMBILAN Khalidah Omar pula berkata sejumlah 17,455 murid Tahun Satu telah berdaftar bagi sesi persekolahan tahun ini dan daripada jumlah itu, seramai 8,059 adalah pelajar prasekolah di 241 sekolah di seluruh negeri itu.

“Pada tahun ini, buat pertama kalinya terdapat empat sekolah pra baharu dibuka dalam kawasan sekolah menengah iaitu tiga di Seremban dan satu di Port Dickson,” katanya selepas mengadakan lawatan sempena Hari Pertama Persekolahan di SMK Seremban 3 dan pembukaan Pra Sekolah baharu di sini.

Di PERLIS pula, Pengarah Pendidikan negeri Rose Aza Che Ariffin berkata seramai 3,705 murid Tahun Satu dan 3,923 pelajar Tingkatan Satu telah mendaftar bagi sesi persekolahan tahun ini.

Ketua Menteri MELAKA Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sebanyak 33,385 murid dan pelajar baharu memulakan sesi persekolahan di 319 sekolah merangkumi 14,220 murid Tahun Satu, prasekolah (5,837 orang) dan Tingkatan Satu (13,328).

“Secara keluruhan, lebih 161,000 murid di seluruh Melaka memulakan sesi persekolahan baharu melibatkan 239 sekolah rendah dan 80 sekolah menengah,” katanya selepas Lawatan Rasmi Hari Pertama Sesi Persekolahan dan Penyampaian BAP 2026 di SMK Kampung Gelam di sini.

Di PAHANG, seramai 451 murid dan pelajar SK Satak yang terdiri daripada murid Tahun Satu hingga Tingkatan Empat memulakan sesi persekolahan, dan kehadiran mereka disambut dengan pelbagai pengisian program antaranya Amalan Guru Penyayang, Program First Day at School anjuran Polis Diraja Malaysia serta aktiviti senamrobik.

Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam Datuk Abd Aziz Mat Kiram turut menyampaikan Kit Peralatan Pembelajaran Tunas Makmur di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) kepada murid.

Sementara itu, sebanyak 28 sekolah di SARAWAK tidak dapat memulakan operasi pada hari pertama sesi persekolahan akibat banjir, dan jumlah tersebut menyaksikan peningkatan berbanding 26 sekolah yang dilaporkan semalam selepas pemantauan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dalat malam tadi.

Pengarah Pendidikan negeri Omar Mahli yang meninjau SMK Petra Jaya di sini berkata setakat ini, dua sekolah terkesan banjir di PPD Dalat diikuti PPD Daro (tiga), PPD Selangau (empat) dan PPD Tatau/Sebauh (19). 

Sehubungan itu, beliau berkata kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disaran sebagai alternatif terbaik bagi sekolah terbabit memandangkan minggu pertama persekolahan memberi tumpuan kepada sesi suai kenal serta pembelajaran santai.

Sesi persekolahan 2026 melibatkan lebih lima juta murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, dengan lebih 800,000 daripadanya merupakan kemasukan baharu termasuk 442,510 murid Tahun Satu dan 423,646 pelajar Tingkatan Satu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan