JENAYAH & MAHKAMAH

TUDM Dijadual Terima Aset Strategik Baharu Selaras Agenda Pemodenan 2026

13/01/2026 09:02 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijadual menerima dan mengoperasikan beberapa aset strategik baharu pada tahun ini, yang akan menjadi penentu utama keupayaan pertahanan udara negara bagi jangka panjang.

Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 kepada warga TUDM berkata hal itu selaras dengan peranan pasukan tersebut sebagai daya tindak pertama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mendukung strategi cegah rintang bersepadu negara.

“Antara aset tersebut ialah tiga pesawat tanpa pemandu ANKA, Radar Pertahanan Udara di Bintulu dan dua pesawat tempur ringan F/A-50M. Penerimaan aset-aset baharu ini bukan sekadar penambahan platform sebaliknya menuntut persiapan menyeluruh.

“Ia merangkumi penstrukturan organisasi, pembangunan kompetensi sumber manusia, menaik taraf infrastruktur, pemantapan doktrin dan prosedur operasi serta pengukuhan sistem penyelenggaraan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan aset sentiasa berada pada tahap optimum,” katanya.

Seramai 216 pegawai dan anggota lain-lain pangkat hadir mendengar amanat itu di Auditorium Air Warfare Centre (AWC), Markas Pemerintahan Operasi Udara, Pangkalan Udara Subang, yang turut dihadiri Timbalan PTU Leftenan Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim.

Muhamad Norazlan berkata tahun 2026 merupakan fasa kritikal dan paling mencabar dalam agenda pemodenan serta transformasi TUDM yang memerlukan warganya memberikan komitmen berterusan bagi memastikan kedaulatan serta keutuhan ruang udara negara terus terpelihara dalam persekitaran keselamatan serantau dan global yang semakin kompleks.

Beliau berkata untuk itu, operational mindset perlu menjadi teras pemikiran dan budaya kerja seluruh warga TUDM.

“Pendekatan ini menekankan keupayaan mengoptimumkan elemen man, machine dan method secara bersepadu, dengan perancangan dan pelaksanaan berorientasikan kejayaan misi serta keupayaan sebenar di medan operasi, bukan sekadar pematuhan proses,” katanya.

Amanat itu turut menekankan bahawa Enam Tonggak Perintah Ulung PTU kekal sebagai asas hala tuju perkhidmatan, dengan penekanan kepada pelaksanaan yang berdisiplin, bersepadu dan berteraskan akauntabiliti di semua peringkat kepimpinan dan fungsi perkhidmatan.

Beliau berkata ini kerana kejayaan TUDM tidak diukur berdasarkan struktur atau perancangan semata-mata sebaliknya keupayaan sebenar untuk mengoperasikan, menyokong dan mengekalkan aset dalam persekitaran operasi sebenar.

Dalam aspek kepimpinan dan pembinaan sahsiah pula, Muhamad Norazlan menggariskan empat nilai teras iaitu tegas, berani, adil dan bijaksana sebagai tunjang kepada budaya kerja profesional serta berintegriti.

“TUDM tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku disiplin atau pelanggaran undang-undang demi memelihara maruah dan kredibiliti perkhidmatan.

“Selaras dengan penegasan Menteri Pertahanan, TUDM juga memberi keutamaan kepada usaha memulihkan kepercayaan rakyat terhadap ATM, membanteras rasuah tanpa kompromi, memperkukuh integriti dan sistem tatakelola serta menguatkuasakan disiplin secara tegas, adil dan konsisten tanpa mengira pangkat atau kedudukan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan hala tuju yang jelas, nilai kepimpinan yang kukuh serta disiplin dan budaya kerja yang betul, TUDM akan terus kekal sebagai kuasa udara yang berwibawa, diyakini serta relevan dalam mendepani cabaran keselamatan masa hadapan demi kepentingan negara dan rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan