AM

Penulis Blog Murray Hunter Mohon Maaf, Tarik Balik Artikel Berunsur Fitnah

13/01/2026 11:33 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Penulis blog Murray Victor Hunter telah menarik balik sepenuhnya beberapa artikel didakwa berunsur fitnah dan membuat permohonan maaf selepas mencapai penyelesaian dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Hunter, warganegara Australia yang berpangkalan di Thailand mengakui penerbitan artikel terbabit mengenai MCMC dan petugasnya adalah tidak tepat, mengelirukan serta telah menimbulkan salah faham.

Dalam kenyataan hari ini, beliau melahirkan rasa kesal dan memohon maaf sekiranya artikel itu menyebabkan sebarang kemudaratan serta mengesahkan beliau telah menarik balik semua kandungan berkaitan yang disenaraikan dalam Jadual 2 dan 3 perjanjian penyelesaian itu.

“MCMC dan saya telah berbincang serta mencapai persefahaman menerusi satu Perjanjian Penyelesaian. Saya mengakui komen dan artikel saya mengenai MCMC dan pihak berkaitannya boleh ditafsirkan sebagai tidak tepat, mengelirukan serta telah menimbulkan salah faham.

“Sehubungan dengan itu, saya memohon maaf dan melahirkan rasa kesal sekiranya tindakan sedemikian telah menyebabkan sebarang kerugian kepada MCMC atau pihak-pihak berkaitan, dan dengan ini saya menarik sepenuhnya semua komen serta artikel terbabit. Senarai komen dan artikel berkenaan seperti yang dinyatakan dalam Jadual 2 dan 3 Perjanjian Penyelesaian dengan MCMC dilampirkan bersama,” katanya.

Artikel berkenaan telah diterbitkan antara April dan November 2024 menerusi platfom termasuk laman Substack milik Hunter, Eurasia Review dan X (dahulu dikenali sebagai Twitter) mengandungi dakwaan terhadap MCMC.

Penyelesaian terbabit adalah susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Oktober 2025 yang mendapati Hunter bertanggungjawab atas fitnah, menegaskan bahawa kebebasan bersuara bukanlah mutlak dan hendaklah dilakukan secara bertanggungjawab.

Dalam kenyataan sebelum ini, MCMC menyatakan keputusan Mahkamah Tinggi itu menjadi peringatan penting bahawa hak untuk menyuarakan pendapat tidak memberi alasan untuk membuat kenyataan palsu, berniat jahat, atau berunsur fitnah yang boleh menjejaskan reputasi.

Menurut kenyataan itu, laporan polis juga telah dibuat di Malaysia dan Thailand pada April dan Jun 2024 berkaitan penerbitan artikel terbabit oleh Hunter.

Satu lagi saman turut difailkan di Malaysia dan dokumen tuntutan sudah diserahkan kepada Hunter di Thailand.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan