AM

MCMC Atur Pertemuan Dengan X, Bincang Isu Sekatan Grok - Fahmi

14/01/2026 06:22 PM

PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah berhubung dengan pihak X agar satu pertemuan dapat diadakan minggu hadapan berkaitan sekatan sementara fungsi Grok di aplikasi berkenaan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata beberapa perkara perlu disahkan terlebih dahulu sebelum pertemuan itu berjalan dan pihak MCMC masih menantikan perkembangan lanjut. 

“Setakat 10 pagi tadi, pihak MCMC memaklumkan mereka telah berhubung dengan pihak X untuk cuba adakan pertemuan pada minggu hadapan," kata Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI pada sidang media pasca-Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Pada 11 Jan lepas, MCMC mengarahkan sekatan sementara terhadap akses kepada kecerdasan buatan (AI) Grok bagi pengguna di Malaysia berkuat kuasa hari yang sama. 

Menurut MCMC, langkah itu diambil berikutan penyalahgunaan Grok bagi menjana kandungan lucah dan eksplisit secara berulang serta kewujudan kandungan tidak senonoh dan imej manipulasi tanpa persetujuan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak walaupun notis kawal selia telah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian telah mengadakan perbincangan semalam yang memberi fokus kepada cabaran AI dan mekanisme sandbox kawal selia serta membincangkan tindakan terhadap aplikasi Grok ekoran kegagalannya memastikan keselamatan pengguna di Malaysia.

“Beberapa perkara untuk membantu jawatankuasa ini segera bergerak dan aktif memahami cabaran terkini, termasuk teknologi AI dibincangkan.

“Insya-Allah jawatankuasa inilah yang akan membantu, mengawasi dan menerjemahkan penetapan apa yang dimaksudkan sebagai kemudaratan dalam talian untuk tindakan MCMC. Saya berharap jawatankuasa ini dapat berfungsi dengan baik, cermat, bebas dan memastikan Internet lebih selamat untuk kanak-kanak serta keluarga,” katanya.

Mesyuarat yang berlangsung di ibu pejabat MCMC itu dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said serta Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.

Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuhkan sebagai badan penasihat strategik tertinggi bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara, selaras penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) yang bermula 1 Jan 2026.

Sementara itu, sandbox merujuk kepada satu kerangka ujian kawal selia yang lazim digunakan dalam sektor teknologi dan digital, dengan pihak berkepentingan dibenarkan menguji pendekatan, mekanisme atau teknologi baharu dalam persekitaran terkawal sebelum pelaksanaan penuh.

Melalui proses itu, pengawal selia dapat menilai keberkesanan, risiko serta implikasi pelaksanaan sesuatu dasar, manakala pihak industri pula diberi ruang untuk menyesuaikan keupayaan teknikal dan operasi mereka selaras dengan keperluan perundangan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan