KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Jumlah aset kewangan Maybank Group Wealth Management (GWM) mencecah lebih RM565 bilion setakat September 2025, disokong oleh momentum kukuh dalam pengurusan kekayaan Islam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Syed Ahmad Taufik Albar berkata jumlah yuran pengurusan kekayaan meningkat 23.5 peratus tahun ke tahun, didorong oleh pengembangan 32.8 peratus dalam aset pelaburan di bawah pengurusannya.
Beliau berkata Pengurusan Kekayaan Islam Maybank merupakan tonggak utama visi jangka panjang kumpulan itu berlandaskan kepada rangka kerja bersepadu yang merangkumi pelaburan, perlindungan dan perancangan legasi untuk memenuhi keperluan menyeluruh pelanggan pelaburannya.
"Pengurusan kekayaan Islam berkembang dengan kukuh di seluruh Malaysia dan rantau ini, disokong oleh penerimaan meluas pelanggan dan aset yang semakin meningkat.
"Memandangkan keperluan pengurusan kekayaan menjadi semakin rentas sempadan dan lebih canggih, kami terus menyediakan penyelesaian kekayaan patuh Syariah yang lancar secara meluas," katanya semasa pelancaran dana MAMG Growth and Income-I Fund Maybank Asset Management (MAM) Sdn Bhd hari ini.
Syed Ahmad Taufik berkata dana pengantara baharu itu bukan sahaja bertujuan untuk memenuhi jangkaan pelanggan tetapi juga menawarkan penyelesaian yang disesuaikan dengan keperluan individu yang pelbagai.
Dana MAMG Growth and Income-I Fund merupakan pengembangan strategik susulan peningkatan penggunaan rangka kerja pelaburan utama (CIO) MAM Group merentasi strategi konvensionalnya.
Strategi itu dilaksanakan melalui pelbagai mandat dan perkongsian di Singapura dan Malaysia.
Dana tersebut dibangun berdasarkan pendekatan menyepadukan pandangan peruntukan aset strategik CIO Maybank GWM dengan keupayaan pelaburan pelbagai aset global pengurus pelaburan global Schroders.
"Dengan mengukuhkan peluang global dalam rangka kerja pelaburan MAMG, dana ini menyediakan pelabur dengan strategi pelbagai aset gred institusi yang dibangunkan untuk meraih pertumbuhan dan pendapatan merentasi pelbagai kitaran pasaran.
"Walaupun dipandu oleh rangka kerja CIO yang sama, dana ini dilaksanakan melalui pendekatan dan perkongsian yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan Syariah," kata MAM dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial