JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN Perak Bongkar Sindiket Penyelewengan Diesel Di Ipoh

15/01/2026 04:08 PM

IPOH, 15 Jan (Bernama) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak merampas 1,400 liter cecair disyaki minyak diesel dalam satu serbuan di Kampung Kepayang, di sini, pada 9 malam semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan itu dilaksanakan hasil maklumat risikan dan pemantauan selama dua minggu oleh pasukan penguat kuasa kementerian bagi membanteras ketirisan barang kawalan di sekitar Ipoh.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, diesel berkenaan ditemui dalam sebuah tangki minyak tambahan berkapasiti 2,000 liter. Susulan itu, KPDN Perak menyita 1,400 liter cecair disyaki diesel, sebuah lori tiga tan serta dua tangki IBC lengkap dengan pam, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM35,110,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kamalludin, sindiket itu beroperasi aktif pada waktu lewat malam untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Diesel berkenaan dipercayai diperoleh daripada beberapa stesen minyak di kawasan berhampiran dan melibatkan pemandu lori yang tidak amanah, sebelum dipindahkan ke tangki tambahan yang diubah suai pada kenderaan dan diagihkan di pasaran gelap,” katanya.

Beliau menambah siasatan awal mendapati sindiket itu memperoleh bekalan diesel pada harga sekitar RM1.50 seliter dan menjualnya kepada pihak industri, khususnya kuari di sekitar Simpang Pulai, pada harga kira-kira RM2.00 seliter.

"Kes ini disiasat di bawah kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan individu penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan individu.

“Bagi kesalahan syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan