AM

SPRM Garis Tiga Strategi Terkini Perangi Rasuah

16/01/2026 01:43 AM

PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggariskan tiga strategi utama dalam usaha mewujudkan negara bebas rasuah, merangkumi Pemerkasaan Penguatkuasaan Berkesan, Pencegahan Rasuah yang Menyeluruh dan Pengurusan yang Efektif.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, pendekatan dikenali sebagai ‘Three-Pronged Approach’ yang terkandung dalam Pelan Strategik SPRM 2026-2030 itu akan menjadi teras gerak kerja SPRM dalam mendepani cabaran rasuah yang semakin kompleks.

Menurutnya, SPRM akan memberi tumpuan kepada sektor berisiko tinggi atau ‘vulnerable areas’ termasuk perolehan kerajaan melibatkan kes sindiket, projek monopoli, kartel dan rasuah berskala besar, selain sektor penguatkuasaan seperti penyeludupan, perjudian, pemerdagangan manusia serta jenayah rasuah di sempadan negara.

Beliau berkata, perhatian turut diberikan terhadap pengurusan dana awam dan peruntukan khas kerajaan yang berpotensi menjejaskan dasar serta kepentingan rakyat dan mengakibatkan ketirisan besar.

Tan Sri Azam turut menegaskan keperluan memperluaskan pendekatan Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) secara sinergi dalam kes-kes penguatkuasaan.

“Kita perlu melakukan sesuatu di luar kebiasaan, termasuk mengambil semula wang yang dicuri daripada kerajaan dan memulangkannya kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Pesuruhjaya SPRM 2026 dan Perhimpunan Bulanan SPRM Bil. 1 Tahun 2026 di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Dalam majlis amanat yang turut disiarkan secara dalam talian kepada warga SPRM, beliau berkata, rejim Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM perlu diperkukuh secara menyeluruh dan berstruktur, dengan pengendalian kes pengubahan wang haram dilaksanakan secara berpusat menerusi Bahagian AMLA SPRM sebagai peneraju utama siasatan (pengubahan wang haram).

Katanya, langkah itu penting bagi mengekalkan pencapaian cemerlang Malaysia dalam Laporan Penilaian Bersama (Mutual Evaluation Report) untuk tempoh lima tahun akan datang serta memastikan SPRM terus diiktiraf sebagai agensi penguatkuasaan unggul dalam siasatan AML.

Beliau berkata, SPRM bersama Bank Negara Malaysia (BNM) telah mencapai status ‘Regular Follow-Up’, iaitu kategori tertinggi oleh penilaian Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), meningkat berbanding status ‘Enhanced Follow-Up’ yang dicapai pada tahun 2015.

Selain itu, Tan Sri Azam berkata, SPRM akan terus memanfaatkan teknologi termasuk sistem siasatan berasaskan kecerdasan buatan (AI), analitik data, forensik digital dan ‘Big Data’ bagi menangani kes-kes yang kompleks.

Beliau turut menegaskan keperluan Sektor Pencegahan bergerak seiring dengan Sektor Penguatkuasaan berdasarkan kawasan berisiko yang dikenal pasti melalui pendekatan proaktif berasaskan ‘data mining’ daripada pelbagai sumber.

Beliau turut menekankan kepentingan kolaborasi strategik bersama institusi pengajian tinggi dan media massa dalam memperkukuh pendidikan antirasuah kepada masyarakat.

“Setiap aktiviti perlu selari dan bertepatan dengan situasi semasa. Aktiviti boleh pelbagai, tetapi mesejnya mesti bergema. Sama ada pendidikan awam yang bermula dari prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan IPT, atau melalui libat urus dengan kerajaan negeri serta komuniti, semuanya mesti dirancang dengan jelas, berfokus dan memberi impak,” katanya.

Tan Sri Azam turut mengingatkan warga SPRM agar menitikberatkan aspek kesihatan, kesejahteraan dan keseronokan bekerja bagi memastikan prestasi tinggi serta hubungan kerja yang harmoni.

“Pada usia SPRM yang kini menjangkau sekitar 58 tahun, kita bukan lagi dalam fasa sedang bersedia. Kita sepatutnya sudah bersedia daripada segi kemahiran kerja, kompetensi, kematangan serta keupayaan ‘interpersonal’,” katanya.

Pada masa sama, beliau menekankan amalan kepimpinan berasaskan ‘Stewardship Management’ yang memfokuskan setiap tindakan “in the best interest of the organization”.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan