POLITIK

Dr Muhamad Akmal Letak Jawatan Exco Kerajaan Negeri Melaka

15/01/2026 01:54 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh hari ini mengumumkan peletakan jawatan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkuat kuasa minggu depan.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dr Muhamad Akmal berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Saya mohon maaf. Hari ini saya nak umumkan, untuk menunjukkan bahawa saya bawa suara akar umbi yang keresahan, saya letak jawatan sebagai Exco berkuat kuasa minggu depan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Muhamad Akmal memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan disandangnya ketika ini susulan gesaan beliau supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan mendapat reaksi negatif daripada Ahmad Zahid.

Sementara itu, Ab Rauf yang hadir mendengar ucapan dasar Ketua Pemuda itu berkata beliau menghormati keputusan Dr Muhamad Akmal dan menyifatkannya sebagai ‘cara pemuda’.

“Sebagai Ketua Menteri, saya akan menunggu surat (peletakan jawatan) secara rasmi,” katanya ketika ditemui pemberita.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan