AM

Letupan Di Universiti HELP: Dua Pelajar Masih Menerima Rawatan

15/01/2026 09:07 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Dua pelajar Universiti HELP yang cedera dalam kejadian letupan gas penyaman udara di kampus universiti di Bukit Damansara, di sini, Isnin lepas masih menerima rawatan di hospital, manakala dua lagi telah dibenarkan pulang.

Universiti HELP dalam kenyataan hari ini memaklumkan enam individu lain yang turut tercedera dalam insiden tersebut juga telah dibenarkan keluar dari hospital.

“Pihak universiti kekal berhubung rapat secara berkala dengan pelajar, kakitangan serta keluarga yang terlibat dan akan terus memberikan segala bentuk sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh pemulihan mereka,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Universiti HELP turut menyambut baik seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar siasatan pantas dan menyeluruh dijalankan berhubung insiden tersebut.

Universiti itu juga menegaskan kesediaannya untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa, pemilik bangunan serta syarikat pengurusan bangunan bagi mengenal pasti fakta kejadian dan memastikan semua protokol keselamatan disemak dengan sewajarnya.

“Kami menghargai sokongan serta keprihatinan yang ditunjukkan terhadap semua pihak yang terlibat dan berterima kasih kepada pelajar, ahli keluarga serta rakan sekerja di dalam dan luar negara yang menghulurkan sokongan serta kata-kata semangat kepada keluarga empat orang pelajar yang cedera dalam insiden tersebut,” menurut kenyataan itu.

Semalam, menerusi catatan di media sosial X, Perdana Menteri menekankan perlunya siasatan segera dan menyeluruh bagi mengenal pasti punca letupan gas penyaman udara di universiti swasta itu yang berlaku pada Isnin lepas.

Dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi Isnin lepas, seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia manakala sembilan lagi cedera. Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Soo Yu Juan, 24, pelajar tahun ketiga kursus Kejuruteraan Mekanikal Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan