AM

RM80,000 Bina, Naik Taraf Kemudahan Pembelajaran Di SJKT Ramakrishna

16/01/2026 06:07 PM

GEORGE TOWN, 16 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyalurkan sumbangan berjumlah RM80,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ramakrishna di sini bagi meningkatkan kualiti Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) serta menyediakan infrastruktur sekolah yang lebih kondusif.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata peruntukan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh kemudahan pendidikan bagi memastikan semua 339 murid sekolah berkenaan memperoleh akses pendidikan yang setara.

Beliau berkata RM50,000 diluluskan pada Disember tahun lepas dan dikreditkan kepada pihak sekolah bagi pembinaan dua bilik darjah tambahan yang kini sedang dalam pembinaan.

“Bersempena sambutan Ponggal, sukacita saya ingin mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30,000 lagi dan berharap melalui sumbangan ini, murid-murid serta para pendidik dapat menikmati suasana pembelajaran yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Cek Cura dan sambutan Ponggal SJKT Ramakrishna di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer dan Guru Besar A. Vasagi Devi.

Chow berkata kerajaan negeri sentiasa komited menyokong agenda pendidikan yang holistik, inklusif dan berkualiti termasuk memperkasa sekolah-sekolah vernakular agar terus relevan dan berdaya saing.

Beliau berkata peruntukan tambahan kepada SJKT dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini turut mencerminkan keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan pendidikan pelbagai aliran di negara ini.

Dalam pada itu, Chow berkata sebagai sebuah negara majmuk, sambutan perayaan seperti Ponggal dilihat amat signifikan kerana mampu menjadi wahana untuk memperkukuh persefahaman, toleransi dan rasa saling menghormati antara kaum.

Sementara itu, pengurus projek pembinaan bilik darjah sekolah berkenaan K. Kumarathiraviam berkata permohonan untuk membina kemudahan pembelajaran itu telah dikemukakan kepada kerajaan negeri dua tahun lepas dan akhirnya direalisasikan pada hari ini.

Beliau berkata kerja-kerja pembinaan telah bermula sejak 6 Sept tahun lepas dengan projek itu kini mencapai kemajuan melebihi 70 peratus dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan