KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) hari ini melancarkan kempen #HopeforGaza bagi membantu meringankan penderitaan penduduk Gaza.
Ketua Pengarah YAPEIM Zabidi Nasan berkata pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta melalui sumbangan dan infak dana daripada masyarakat negara ini.
“Dana yang dikumpul menerusi kempen itu akan diserahkan kepada Tabung Musaadah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebelum disalurkan kepada masyarakat di Gaza,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik YAPEIM 2025 yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan di sini.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Abdul Khudus Mohd Naaim.
Zulkifli yang turut melancarkan kempen #HopeforGaza memuji inisiatif YAPEIM yang disifatkan cakna terhadap nasib saudara Islam di Palestin, khususnya di Gaza.
Penganjuran Majlis Apresiasi Rakan Strategik YAPEIM 2025 bertujuan menghargai dan mengeratkan hubungan kerjasama dengan badan korporat, institusi serta individu yang menyumbang kepada usaha meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat melalui YAPEIM.
Kira-kira 400 individu daripada pelbagai latar belakang hadir pada majlis itu, melibatkan penyumbang Rakan Strategik Infak (RSI) dan Rakan Strategik Korporat (RSK), wakil majikan serta penerima manfaat.
Pada majlis itu, Zulkifli turut menyempurnakan gimik serahan Bantuan Sinar Lestari YAPEIM, penyerahan Bantuan Pendidikan, penyampaian sijil apresiasi kepada empat penyumbang tertinggi kategori RSI dan sijil penghargaan kepada rakan korporat.
Sebelum ini, Tahun Infak YAPEIM 2026 dilancarkan sebagai momentum strategik untuk memperkukuh budaya infak dalam kalangan masyarakat, sekali gus mengangkat YAPEIM sebagai institusi infak nasional dan pilihan utama ummah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial