EKONOMI

Amerika Syarikat Benarkan FGV Eksport Minyak Sawit Susulan Pindaan WRO

16/01/2026 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) membenarkan FGV Holdings Bhd (FGV) untuk mengeksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit ke negara itu, susulan pindaan ke atas Perintah Penahanan Pelepasan (WRO) yang berkuat kuasa mulai 15 Jan, 2026.

Dalam kenyataan pada Jumaat, FGV menjelaskan CBP AS mengesahkan bahawa produk keluaran FGV, termasuk anak syarikat dan usaha samanya, kini dibenarkan untuk memasuki pasaran perdagangan AS, tertakluk kepada pematuhan kumpulan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

“Pindaan tersebut dibuat hasil usaha berterusan dan menyeluruh FGV dalam memperkukuh amalan buruh selaras dengan peraturan tempatan dan piawaian antarabangsa.

“Usaha ini merangkumi pelaksanaan pelan tindakan yang kukuh bagi memastikan tiada Amalan Buruh Paksa dan Buruh Kanak-kanak seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), wujud dalam operasi FGV,” menurut FGV.

FGV memaklumkan antara langkah utama yang dilaksanakan termasuk memperkukuh prosedur pengambilan pekerja agar selaras dengan prinsip dan piawaian pengambilan pekerja yang beretika dan bertanggungjawab serta melaksanakan program pembayaran balik yuran pengambilan pekerja.

Usaha utama lain adalah mengutamakan suara pekerja melalui Jawatankuasa Komunikasi Harmoni di peringkat ladang serta bekerjasama dengan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW) bagi mempromosikan hak pekerja terhadap kebebasan berpersatuan dan keahlian kesatuan sekerja, tambah FGV.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Fakhrunniam Othman berkata pindaan WRO itu merupakan satu pencapaian penting bagi FGV dan mencerminkan kemajuan yang telah FGV capai dengan melaksanakan amalan perniagaan dengan betul dan beretika secara konsisten.

“Melalui pembaharuan berterusan, FGV telah memperkukuh amalan buruh, melindungi hak asasi manusia serta menerapkan prinsip kelestarian dalam setiap aspek perniagaan kumpulan FGV.

“Hasil ini menunjukkan komitmen kami terhadap amalan beretika dan bertanggungjawab membolehkan FGV memenuhi piawaian antarabangsa serta mengekalkan akses ke pasaran utama seperti AS,” katanya.

Menurut FGV,  pihaknya ingin merakamkan penghargaan kepada CBP AS atas panduan serta kecekapan dalam meminda WRO dan pengiktirafan usaha FGV dalam memperbaiki serta memperkukuh amalan buruh.

“Kumpulan juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia serta semua pihak berkepentingan atas sokongan berterusan dan kefahaman mereka sepanjang proses ini,” jelas FGV.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan