SUKAN

Piala Malaysia: Akmal Rizal Harap Pemain TRW FC Tidak Gerun Hadapi Selangor FC

18/01/2026 09:31 AM

KOTA BHARU, 18 Jan (Bernama) -- Penolong Ketua Jurulatih Kelantan The Real Warriors FC (TRW FC) Akmal Rizal Ahmad Rakhli tidak mahu pemain berasa gerun ketika menentang Selangor FC pada aksi pertama pusingan 16 kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam esok.

Akmal Rizal berkata beliau mahu pemain bermain dengan karakter dan jiwa yang kuat untuk memenangi perlawanan di halaman sendiri itu.

“Jiwa pemain perlu kuat walaupun menyedari perlawanan malam esok sukar untuk kami menang kerana Selangor FC antara pasukan dalam kelompok lima terbaik dalam Liga Malaysia (Liga-M) ketika ini.

“Mereka (Selangor FC) memiliki skuad lengkap, pemain berkualiti sama ada import mahupun pemain tempatan, jadi kami perlu bekerja keras selain setiap pemain yang turun perlu ada karakter dan jiwa untuk menang, tidak terlalu hormat atau gerun dengan pasukan lawan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Beliau berharap pemain dapat mengekalkan momentum kemenangan ke atas Sabah FC pada perlawanan Liga Super minggu lepas untuk memberi cabaran kepada Selangor FC.

“Pemain perlu memberi tekanan dengan sedaya mampu bagi mendapatkan gol, pemain yang mempunyai peluang menjaringkan gol mesti ada sikap menjaringkan gol dan tidak sia-siakan peluang yang dimiliki,” katanya.

Beliau berkata pada perlawanan itu, pasukannya turut menghadapi kekurangan pemain akibat masalah penggantungan perlawanan dan kecederaan sehingga terpaksa menggunakan pemain sedia ada.

“Saya terpaksa menggunakan skuad yang kecil kerana masalah ini dan perlu membuat perancangan dengan melihat pemain yang cergas untuk diturunkan.

“Saya harap pemain yang diturunkan dapat mencatat keputusan positif di tempat sendiri sebelum beraksi di tempat lawan pada aksi timbal balik,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan