MELAKA, 18 Jan (Bernama) -- Pengendali sementara Sabah FC Alto Linus menyifatkan keputusan seri 2-2 menentang Melaka FC pada kempen Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Krubong malam tadi sebagai satu keputusan positif buat pasukan itu menjelang perlawanan kedua pusingan 16 pada Khamis depan.
Beliau berkata keputusan itu amat bermakna dan memberi kelebihan kepada pasukan itu apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sekali gus bertekad melakar kemenangan.
“Komitmen tinggi yang diberikan oleh pemain sepanjang perlawanan wajar diberikan pujian kerana mereka terus memberikan aksi terbaik walaupun berdepan tekanan, khususnya ketika beraksi di tempat lawan selain kekurangan pemain di posisi tengah dan beberapa pemain masih dibelenggu masalah kecederaan.
“Walaupun mereka seperti kehilangan sedikit tumpuan sehingga Melaka FC berjaya menembusi benteng pertahanan pada awal permainan dan ketinggalan hasil gol di separuh masa pertama, pemain berjaya menyamakan kedudukan,” katanya selepas perlawanan di sini malam tadi.
Terdahulu, Melaka FC bermula cemerlang apabila mendahului seawal minit kedua menerusi Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi sebelum Kwangil Pak menggandakan gol pasukan tuan rumah pada minit ke-37.
Sabah FC bangkit untuk mengikat kedudukan menerusi jaringan Adjin Mujagic pada minit ke-14 sebelum Fergus Tierney sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit ke-88, selepas Melaka FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain susulan kad merah yang dilayangkan kepada Dino Kalesic pada minit ke-44.
Alto berkata kombinasi permainan dan penyudah perlu dipertingkatkan, terutama pada separuh masa kedua apabila pasukan itu memiliki kelebihan seorang pemain, namun gagal memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diperoleh.
Beliau berkata Sabah FC akan memberikan aksi terbaik pada perlawanan kedua selain menyasarkan untuk melangkah sejauh mungkin pada kempen Piala Malaysia musim ini.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Melaka FC E. Elavarasan berkata pasukan itu bermain dengan baik secara keseluruhan namun mengakui kekurangan seorang pemain memberi kesan besar terhadap corak permainan.
Beliau menyifatkan Sabah FC sebagai pasukan berkualiti dan berpengalaman, selain tekanan semakin dirasai selepas pasukan itu kekurangan pemain, khususnya ketika bertahan pada separuh masa kedua.
“Dalam bola sepak setiap kesilapan akan dihukum dan situasi itu dimanfaatkan oleh Sabah FC untuk mendapatkan jaringan penyamaan pada saat akhir perlawanan.
“Peluang kedua-dua pasukan untuk menang selepas ini adalah adalah 50-50, dan kami akan menilai tahap kecergasan pemain sebelum menentukan kesebelasan utama yang bakal diturunkan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial