AM

RKB: Melaka Jimat RM13.5 Juta Setahun Di Bawah RKB - Ab Rauf

19/01/2026 12:46 PM

MELAKA, 19 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri Melaka berjaya menjimatkan sebanyak RM13.5 juta setahun melalui agenda Reformasi Karenah Birokrasi (RKB), selain mempercepatkan urusan kerajaan dan meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata RKB mesti diterjemahkan kepada perubahan sebenar dalam cara bekerja, dengan proses yang lebih ringkas, keputusan lebih pantas, dan hasil yang dapat dirasai rakyat, seterusnya meyakinkan mereka tentang keberkesanan sistem penyampaian kerajaan.

“Untuk mencapai ini, setiap proses dan prosedur sedia ada hendaklah disemak, diperkemas dan diperbaiki secara berterusan supaya tiada lagi alasan berlakunya kelewatan atau prosedur yang tidak jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuh Prestasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Ibrahim Durum, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad.

Antara projek RKB di Melaka adalah membabitkan kerjasama antara Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Melaka serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menambah baik operasi pentadbiran dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

Ia melibatkan penambahbaikan Manual Laporan Cadangan Pemajuan (LCP) Edisi Kedua, Pindaan Negeri Melaka oleh PTG Melaka bersama PLANMalaysia@Melaka yang berjaya mengurangkan tempoh urusan pengambilan tanah daripada 36 bulan kepada hanya enam bulan melalui semakan teknikal bersepadu dan serentak.

Sementara itu, Ab Rauf berkata prestasi Melaka dalam sektor pendidikan terus menunjukkan peningkatan ketara apabila 118 sekolah diiktiraf sebagai Sekolah Inspirasi yang menunjukkan prestasi cemerlang pada tahun ini berbanding hanya sebuah sekolah pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata lebih membanggakan apabila Melaka berjaya mencatatkan sifar sekolah fokus dalam Kriteria Reformasi Sekolah apabila tiada lagi sekolah yang memerlukan perhatian Kementerian Pendidikan untuk dipantau secara intensif, sekali gus mencerminkan tahap pencapaian pendidikan negeri yang berada pada landasan cemerlang.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata sebanyak 17,393 aduan awam direkodkan dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Melaka pada 2025, dengan 16,039 atau 92 peratus aduan berjaya diselesaikan. Baki 1,354 aduan masih dalam tindakan dan dipantau secara berterusan oleh agensi berkaitan.

“Namun, saya tidak mahu tumpuan hanya kepada aduan di SISPAA sahaja. Semua jabatan dan agensi mesti peka, bertindak segera dan responsif terhadap semua platform interaksi dengan rakyat. Kalau boleh, hari ini aduan diterima, hari ini juga mesti respons kepada rakyat. Jangan sampai ada aduan yang sama berulang kali,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan