AM

Bernama Adakan Kunjungan Hormat Ke Atas MB Johor

19/01/2026 05:00 PM

JOHOR BAHRU, 19 Jan (Bernama) -- Pengurusan tertinggi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi di kediaman rasmi beliau di Saujana di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin mengetuai delegasi yang turut disertai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak, Ketua Strategi Korporat Mariati Mohd Arif serta Ketua Biro Bernama Johor Hasnah Jusid.

Pertemuan yang berlangsung kira-kira sejam itu julung kalinya diadakan pengurusan tertinggi Bernama dengan Kerajaan Negeri Johor yang bertujuan mengukuhkan hubungan strategik serta kerjasama dua hala, khususnya dalam penyampaian maklumat sahih, tepat dan berintegriti kepada rakyat.

Antara perkara dibincangkan ialah potensi kerjasama liputan dan penglibatan Bernama dalam menjayakan kempen Tahun Melawat Johor 2026, termasuk memperluas liputan berfokus pelancongan, ekonomi dan pembangunan negeri menerusi platform media arus perdana dan digital.

Delegasi Bernama turut bertukar pandangan dengan Onn Hafiz mengenai kesan pembangunan pesat negeri serta pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), khususnya dari sudut keperluan penerbitan berita ekonomi yang lebih mendalam, analitikal dan berimpak tinggi.

Pada esok, Bernama akan menganjurkan Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik Siri Ke-2 di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang bermula 8 pagi hingga 4 petang.

Program itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam, termasuk dalam kalangan siswa terhadap tanggungjawab wartawan dalam menyampaikan maklumat yang tepat, beretika dan berintegriti di samping menyokong pembangunan negara melalui penyebaran berita yang sahih.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan